TANJONG 6 Mac – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu terpaksa mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 selepas DUN Pulau Pinang meluluskan usul berkaitan kerana melompat parti.
Usul itu dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebelum dibahaskan dan diluluskan dengan sebulat suara.
Empat ADUN Bersatu itu berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN) selepas memenangi kerusi mereka di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
Empat ADUN itu adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang).
Mereka yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) dianggap “hilang” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Ia berdasarkan peruntukan akta anti lompat yang terkandung dalam Perkara 14A perlembagaan negeri.
Perkara 14A menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada sesuatu parti atau telah dipilih selain daripada sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.
Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang sebelum ini mengemukakan usul itu sebagai perkara utama pada hari pertama persidangan DUN.
Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan empat pemimpin Bersatu untuk menghentikan usul itu daripada dibentangkan, berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam pengurusan DUN.
Dengan kekosongan empat kerusi itu, ADUN Pas Penaga, Yusni Mat Piah kini menjadi wakil tunggal pembangkang di DUN Pulau Pinang.
Ketika ini, PH menguasai 33 daripada 40 kerusi DUN manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai dua kerusi tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan mereka tidak lagi dianggap sebagai pembangkang.
Tiada pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan empat kerusi DUN itu kerana PRN dijangka diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang.
