“Mereka tidak lompat parti”

KUALA LUMPUR 6 Mac – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di Pulau Pinang tidak pernah melompat parti.

Justeru, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, berkata adalah tidak wajar usul mengosongkan kerusi dikemukakan ke atas mereka pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, semalam.

Semua rakyat harus menyaksikan kesombongan gabungan DAP-UMNO di Pulau Pinang yang hari ini (semalam) membawa usul ke DUN Pulau Pinang untuk mengosongkan kerusi empat ADUN PN.

“Mereka kata ini disebabkan 4 ADUN terbabit melompat parti, tetapi faktanya ialah dua ADUN Bersatu tidak pernah keluar Bersatu dan dua ADUN PKR pula dipecat. Tidak ada yang lompat parti,” katanya di Facebooknya.

Katanya, kerajaan DAP di Pulau Pinang didakwa seolah-olah mahu menghapuskan suara Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

“Mereka boleh tunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi mereka tidak mahu. Mereka boleh pinda Perlembagaan supaya selari dengan semangat Akta Anti Lompat Parti Persekutuan tetapi mereka tidak mahu.

Inilah kesombongan DAP-UMNO dan kerakusan mereka membolot kuasa dengan menggunakan saluran perundangan,” katanya.

Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi diwakili ADUN Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN sebulat suara bersetuju meluluskan usul itu.

Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan ‘ya’ kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan ‘tidak’.

Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi yang terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).

Empat ADUN berkenaan pada 16 Disember lalu juga gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar peruntukan mengikut Enakmen Antilompat Parti di negeri itu.

Related posts

Leave a Comment