Pemuda paling ramai tawar diri rebut jawatan

KUALA LUMPUR 1 Mac – Calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat pada Pemilihan UMNO 2023-2026 masih boleh menarik diri sebelum pukul 2 petang esok (2 Mac), sebelum cabutan undi nombor calon.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad berkata, proses cabutan undi nombor calon-calon akan berlangsung di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato’ Onn, Ibu Pejabat UMNO.

Cabutan akan dimulakan dengan Pergerakan Puteri, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Menurut Shahrir, kertas undi tidak akan menyenaraikan nama-nama calon yang bertanding sebaliknya hanya menyediakan ruang/kotak yang perlu diisi nombor calon yang menjadi pilihan.

Bagi memudahkan pemilihan, Ibu Pejabat UMNO akan menyediakan satu senarai calon dan nombor calon serta buku panduan untuk rujukan bahagian-bahagian UMNO bagi mengelakkan kertas undi rosak

Proses pemilihan sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan berlangsung pada 11 Mac manakala peringkat MKT pada 18 Mac.

Mengenai pencalonan bagi jawatan-jawatan itu, Shahrir menyifatkan pemilihan ini merupakan simbolik kepada silaturahim yang terjalin dalam kalangan ahli parti dengan penawaran diri untuk bertanding.

Katanya, pertandingan ini memberikan signifikan tersendiri apabila ramai dalam kalangan pemimpin muda yang menawarkan diri bagi memberikan perkhidmatan mereka kepada parti.

Menurut beliau ramai muka baharu menawarkan diri termasuk di peringkat Exco Pemuda, dan ini menunjukkan berani untuk menawarkan diri dan mencuba, mempamerkan diri dan bertanding secara sihat.

Shahrir juga menjelaskan pihaknya tidak begitu ketat dalam menilai kelayakan calon yang bertanding selagi mana ianya berlandaskan kepada Perlembagaan UMNO.

“Prinsip yang kami pegang ialah undi atau keputusan yang dibuat oleh perwakilan iaitu ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian adalah lebih penting.

“Soal kelayakan itu tidak begitu ketat kerana ianya lebih kepada menggalakkan proses penawaran diri calon ini untuk berkhidmat kepada UMNO supaya dapat menyegarkan demokrasi dalam semangat setiakawan keluarga berasaskan kepada suara yang ramai,” kata beliau.

Dalam pemilihan kali ini sebanyak 383 calon menawarkan diri merebut jawatan di peringkat pusat termasuk Naib-naib Presiden UMNO

Daripada jumlah itu Pergerakan Pemuda menampilkan calon paling ramai iaitu 142 di mana tujuh bagi Pengerusi Tetap, 13 Timbalan Pengerusi Tetap, lima bagi Ketua Pemuda, empat Naib Ketua Pemuda dan 113 untuk 20 jawatan Exco.

Related posts

Leave a Comment