PN guna logo gabungan di Melaka

KUALA LUMPUR 25 Okt . – Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap pendaftarannya.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas di sini malam tadi.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan PN yang boleh kembali beroperasi seperti biasa berikutan perintah mahkamah berkenaan.

“Disebabkan PN ‘is back’, kita memutuskan untuk menggunakan logo PN dalam PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Takiyuddin juga menjelaskan PN kekal sebagai gabungan politik yang boleh beroperasi seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Katanya , perintah mahkamah bertarikh 22 Oktober lalu masih berkuat kuasa meskipun RoS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, pemfailan notis rayuan tidak secara automatik menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi, sekali gus membolehkan PN meneruskan urusan termasuk mengadakan mesyuarat tergempar MT.

Justeru beliau menafikan dakwaan bahawa PN tidak boleh mengadakan mesyuarat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Katanya, susulan keputusan mahkamah berkenaan, PN kembali beroperasi seperti biasa dan gabungan itu juga sudah menghantar notis mesyuarat tergempar kepada empat wakil Bersatu pada Jumaat.

“Namun, hanya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memaklumkan beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat malam ini tanpa memberikan alasan, manakala tiga lagi wakil parti itu tidak memberikan sebarang maklum balas,” katanya.

Katanya, PN terbuka sekiranya Bersatu mahu bertanding menggunakan logonya sendiri pada PRN berkenaan, selaras dengan Fasal 16 perlembagaan gabungan itu yang membenarkan perkara itu jika mendapat kebenaran.

“PN dijadualkan mengumumkan calon bagi PRN Melaka pada 29 Oktober ini. Bagaimanapun, perinciannya masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment