PUTRAJAYA 1 Mac – Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, keputusannya untuk menyertai PUTRA adalah kerana beliau memerlukan platform politik untuk meneruskan perjuangan membela nasib masyarakat Melayu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, penyertaan itu juga disebabkan beliau tidak lagi menganggotai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sebelum parti diterajui anaknya, Mukhriz keluar daripada gabungan parti politik, Gerakan Tanah Air (GTA).
Katanya , memandangkan GTA tidak berdaftar sebagai sebuah gabungan politik, beliau tiada platform untuk meneruskan perjuangan dan PUTRA adalah pilihan.
“Saya berpendapat perlu ada satu platform untuk saya teruskan perjuangan. Walaupun sudah berusia 97 tahun, hati saya masih lagi dengan perjuangan orang Melayu.
Kita perlu melihat orang Melayu dapat bahagian mereka dalam keadaan di negara kita yang mana mereka sekarang ini tidak menguasai ekonomi dan politik. Kalau kita tak selamatkan orang Melayu, negara kita akan hadapi masalah kepincangan,” katanya.
“Parti cuma alat sahaja, perjuangan ini untuk orang Melayu dan saya dapati bahawa kedudukan orang Melayu sekarang ini lebih banyak masalah daripada kaum-kaum lain,” katanya.
Bekas Pengerusi PEJUANG dan BERSATU itu berkata demikian pada majlis penyerahan kad keahlian dan watikah Penasihat PUTRA di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden PUTRA, Dr Ibrahim Ali dan Timbalannya, Khalid Yunus.
Dr. Mahathir yang turut menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat PUTRA hari ini berkata, sebelum mati, beliau akan terus bekerja untuk orang Melayu
“Saya akan kerja untuk bangsa saya, kalau nak kata saya rasis katalah, panggil saya rasis ka, tapi saya berpendapat orang Melayu yang sudi menerima orang asing tinggal dan jadi warganegara Malaysia, orang Melayu tidak harus dijadikan golongan termiskin yang tidak ada apa-apa” katanya.
Beliau juga mengingatkan masa depan orang Melayu gelap jika mereka terus berpecah dan berlawan sesama sendiri, lemah tiada kuasa politik dan tiada ekonomi walaupun secara kecil-kecilan.
Ditanya sama ada akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang dijangka diadakan Julai depan, perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Katanya penglibatan PUTRA pada PRN akan dibincangkan oleh kepemimpinan parti kerana kekangan dihadapi PUTRA yang tidak memiliki sumber kewangan besar, tidak seperti parti lain yang berbelanja sehingga ratusan juta ringgit untuk kempen.
Beliau mengakui, isu perbelanjaan menghadapi pilihan raya adalah antara perkara yang perlu ditimbangkan parti sebelum membuat keputusan memasuki enam PRN berkenaan.
“Perkara itu (bertanding PRN) belum dibincangkan lagi dengan kepemimpinan tertinggi PUTRA. Itu akan kita bincang selepas saya ada perjumpaan dengan kepemimpinan PUTRA. Sama ada bertanding atau pun tidak,” katanya.
