MICHIGAN – Presiden Donald Trump meningkatkan serangannya terhadap Abdul El-Sayed dengan mendakwa calon Senat Demokrat kepada golongan radikal dalam satu perhimpunan kempen di Michigan pada Ahad.
Beliau hadir pada kempen di Port Huron menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang dijadualkan berlangsung pada 3 November.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu hadir sehari selepas bekas Presiden Barack Obama berkempen untuk Demokrat di Michigan, sekali gus menonjolkan kepentingan negeri berkenaan dalam pilihan raya akan datang.
Berucap di hadapan penyokongnya, Trump berkata, beliau mahu menghalang “anggota Ikhwanul Muslimin” daripada menjadi senator, sambil mendakwa Demokrat akan membenarkan pengganas anti-Amerika memasuki negara itu.
Sekiranya menang, El-Sayed akan menjadi Muslim pertama dipilih ke Senat Amerika Syarikat (AS).
Sejak beberapa bulan lalu, Trump berulang kali menggambarkan beliau sebagai tokoh radikal yang anti-Amerika.
Dalam ucapan terbarunya itu, Trump turut membuat perbandingan antara El-Sayed dan perampas pesawat United Flight 93 yang terlibat dalam serangan pengganas 11 September 2001 (9/11).
Beliau menggesa pengundi Michigan mencontohi tindakan mendiang Todd Beamer, anak kelahiran negeri itu yang terkenal kerana menentang perampas pesawat Flight 93.
“Dua puluh lima tahun kemudian, Michigan perlu bangkit dan melawan seperti yang dilakukan Todd untuk menghalang seorang jihadis daripada melangkah masuk ke Capitol,” kata Trump.
Trump turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa El-Sayed akan menjadi satu-satunya senator yang perlu melalui pengesan logam sebelum dibenarkan memasuki Dewan Senat.
Sementara itu, El-Sayed menolak semua dakwaan berkenaan dan sebelum ini mempertahankan pegangan agamanya dalam satu iklan kempen.
“Keimanan adalah sesuatu yang terlalu sedikit wujud di Washington,” katanya.
Sementara itu, calon Republikan Mike Rogers turut mendakwa tanpa mengemukakan bukti bahawa El-Sayed mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin, antara gerakan Islam paling berpengaruh di dunia Arab.
El-Sayed menafikan sebarang hubungan dengan organisasi tersebut dan menyifatkan tindakan Rogers mempersoalkan kesetiaannya kepada AS sebagai sesuatu yang “memalukan.”
