KUALA LUMPUR 25 Okt . – Bersatu dinasihatkan supaya tidak mengambil alih peranan mahkamah dengan mempersoalkan keabsahan aktiviti dianjurkan Perikatan Nasional (PN), termasuk mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, malam ini.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Bersatu itu sebagai memalukan, selain mengakui ia akan membuka peluang kepada orang ramai mempersoalkan kesetiaan dan hasrat sebenar Bersatu terhadap PN.
“Kalau tak panggil, kata (PN) tak panggil (Bersatu sertai mesyuarat). Bila dipanggil, macam-macam pula alasan. Setiausaha Agung Bersatu (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak boleh ambil alih tugas mahkamah, Bersatu bukannya mahkamah.
“Kita menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan mahkamah sudah buat ketetapan, PN dibenarkan bertanding (PRN Melaka) guna logo (PN) dan buat aktiviti sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya,” katanya pada sidang media, di sini malam ini.
Terdahulu, Azmin mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar MT PN malam ini susulan pembatalan pendaftaran dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Selasa lalu.
Beliau berkata, ini memandangkan perintah penggantungan pelaksanaan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran PN.
Malah, katanya, Peguam Kanan Persekutuan kelmarin sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Azizan Md Arshad bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri.
“Bersatu berpendapat bahawa memandangkan satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan perkara yang menjadi inti pati Rayuan ini adalah bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak hendaklah memelihara status quo keputusan RoS sehingga pelupusan semua peringkat prosiding Mahkamah telah ditempuh sepenuhnya.
“Di bawah seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya adalah menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” kata Azmin.
Tambah beliau, Bersatu sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya dan akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian.
Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat tergempar MT PN malam ini akan membincangkan dua agenda utama, iaitu maklum balas berhubung perintah mahkamah mengenai status pendaftaran gabungan itu dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, mesyuarat itu penting bagi membolehkan PN membincangkan urusan bersama parti komponen serta mengumumkan calon yang akan bertanding pada PRN berkenaan.
“Kita mahu menghadapi PRN Melaka dan bagaimana kalau PN tidak mengadakan mesyuarat? Kalau tidak buat, nanti Bersatu juga yang merungut. Kita pun perlu mengumumkan calon.
“Bagi mengumumkan calon yang bertanding pada PRN Melaka, PN perlu bermesyuarat dan berbincang dengan parti komponen. Bagaimana mahu mengelak semua ini?
“Laporan mengenai keputusan mahkamah berkaitan isu itu juga perlu dimaklumkan kepada MT PN. Apabila mahkamah membenarkan mesyuarat diadakan, maka bermesyuaratlah dan jangan beri alasan lagi,” katanya.
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata sikap tidak setia kepada parti adalah percanggahan serius terhadap perlembagaan parti dan boleh dianggap sebagai kesalahan disiplin.
Beliau mendakwa, Bersatu berulang kali melanggar disiplin, termasuk dengan bertanding menentang calon PN pada PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu.
“Sudah-sudahlah, kita teruskan perjuangan dan sama-sama mengambil bahagian dalam PRN Melaka. Kalau betul menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, buktikanlah.
“Jika menjadi penghalang dan sering memberi alasan, kalaupun Bersatu menganggap mesyuarat malam ini tidak boleh diadakan, datanglah, minum kopi dan berbual.
“Kita ada enam parti (dalam PN), duduklah dan dengar pandangan semua. Kalau semua sependapat dengan Bersatu dan kita tangguhkan mesyuarat malam ini, tukar jadi perjumpaan biasa. Namun, jangan pula tidak berani datang langsung,” katanya.
Nnnn
