“Saya nak lihat berapa orang nak menjerit”

KUALA LUMPUR 1 Mac – Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul “membiarkan” kekecohan ‘perang mulut’ antara penyokong kerajaan dan pembangkang rupanya ada ‘muslihat’.

“Saya nak lihat berapa orang nak menjerit sebab rakyat sedang tengok, teruskan, teruskan, rakyat sedang tengok,” katanya sinis.

Kekecohan bermula ketika Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengakhiri perbahasannya dengan meluahkan kekesalannya terhadap Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang sebelum itu kerap menganggu ucapannya.

“Saya kesal kepada Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya.

Ungkapan terbabit bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati Mohd Sany yang dengan lantang meminta Speaker mengarah Shahidan supaya menarik balik perkataan terbabit.

Katanya, Shahidan sebagai orang lama tidak seharusnya menunjukkan contoh tidak baik kepada Ahli Parlimen baharu.

“Speaker…guna perkataan kera, sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” kata Mohd Sany.

Dewan bagaimanapun terus gamat apabila gesaan Mohd Sany itu dicelah Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bangun meminta Pengarah Mobilisasi Amanah itu mengubah perangainya terlebih dahulu sebelum kedua-dua Ahli Parlimen terbabit berterusan bertegang urat.

Situasi tegang itu berterusan selama beberapa minit sehingga memaksa Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) merayu kepada Speaker supaya mengawal keadaan.

Bagaimanapun, Johari membalas permintaan Ahmad Amzad secara sinis dengan mengatakan bahawa rakyat sedang memerhatikan tingkah laku mereka.

Johari kemudiannya bertanyakan kepada Shahidan sama ada beliau ada mengeluarkan perkataan tidak berparlimen itu.

“Arau, adakah Arau sebut perkataan tidak berparlimen, kalau Arau betul-betul insan Islamik, dia akan bercakap benar, jadi adakah Arau keluarkan perkataan tidak berparlimen?” soalnya.

Shahidan membalas bahawa beliau hanya meminta supaya Mohd Sany tidak berperangai seperti kera di hutan dan Speaker kemudiannya meneruskan perbahasan dan menganggap ‘kes’ selesai.

Related posts

Leave a Comment