Hajiji kukuh, UMNO ‘gigit jari’ Warisan ‘berputih mata’

SELEPAS mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini, kedudukan Ketua Menteri, Hajiji Noor semakin kukuh apabila mendapat sokongan baharu daripada tiga lagi wakil rakyat Warisan.

Hajiji yang meninggalkan Bersatu bersama wakil rakyat parti dari Semenanjung itu bukan sahaja mendapat sokongan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan lima ADUN UMNO tetapi juga bekas ADUN Warisan.

UMNO dan Warisan yang dikatakan cuba mengambil alih kerajan Sabah melalui apa yang digelar Langkah Kinabalu pada Januari lalu terpaksa berputih mata melihat kerajaan Hajiji yang semakin sukar diganggu gugat.

Jika diselak kembali, selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN16) ketika pembentukan kerajaan negeri, UMNO adalah parti individu dengan jumlah kerusi terbesar iaitu 14, diikuti PPBM atau Bersatu 11, STAR 6 dan PBS 7.

Ketika Hajiji ditekan kerana tidak mempunyai parti politik selepas beliau bersama wakil rakyat Bersatu meninggalkan parti itu, kedudukannya tergugat apabila UMNO menarik balik sokongan dan disokong Warisan.

Bagaimanapun lima ADUN UMNO enggan berpaling tadah sebaliknya menyokong Hajiji manakala tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) juga menyokong kerajaan sedia ada yang diterajui Hajiji atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri yang meninggalkan Bersatu itu terus bertahan dengan mendapat sokongan 44 ADUN manakala dalam kekalutan itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim merestui Hajiji untuk terus memimpin Sabah.

Tindakan Hajiji ‘membuang’ Bersatu yang gagal membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum lalu nyata berjaya menyelamatkan kedudukannya sama seperti tindakan beliau sebelum ini meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu.

Kelmarin kedudukan Hajiji makin kukuh apabila tiga ADUN Warisan iaitu Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) mengumumkan keluar parti pimpinan Shafie Apdal dan menyokong kerajaan negeri.

Langkah itu menjadikan sembilan ADUN sudah meninggalkan Warisan selepas PRN16 pada September 2020 yang menyaksikan parti itu gagal mempertahankan pemerintahan negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum ini, enam ADUN yang mengumumkan keluar Warisan adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Dr Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).

Warisan kini hanya mempunyai 16 ADUN, dan tidak mustahil, demi kelangsungan politik, ada lagi wakil rakyat yang mungkin meninggalkan Warisan atau tidak mustahil juga dalam kalangan ADUN UMNO mungkin beralih arah.

Selagi tidak ada akta berkaitan antilompat parti, kedudukan ADUN Warisan dan UMNO tidak selamat, maknanya boleh sahaja berlaku tawar menawar atau ‘jual beli’.

Ketika ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap lima ADUN UMNO Sabah yang menyokong Hajiji malahan antara mereka dilantik menyertai Kabinet Hajiji termasuk sebagai Timbalan Ketua Menteri walaupun UMNO tidak merestuinya.

Hakikatnya, bila-bila masa sahaja lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji dan bekas ADUN Warisan boleh berpindah menyertai Gagasan Rakyat yang dipimpin Ketua Menteri itu. Persoalannya jika itu berlaku, apakah status mereka?

Fasal baharu Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, iaitu fasal 20.11.1 antara lain menyebut, keanggotaan tergugur secara automatik jika ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN Bebas.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata kini adalah tempoh bertenang untuk semua pihak mencari titik persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Sabah.

Ahmad Zahid berkata dalam tempoh bertenang itu beliau memohon semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang interpretasi, spekulasi atau kenyataan bercanggah bagi memastikan usaha mencari penyelesaian itu berjalan lancar.

Manakala Warisan pula meminta tiga ADUN berkenaan mengosongkan kerusi dan akan mengheret mereka ke mahkamah. Namun kenyataan seumpama itu tidak ke mana kerana amaran yang sama turut dibuat terhadap ADUN lain yang melompat.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Jaujan Sambakong berkata, Warisan akan membawa mereka ke mahkamah, sama seperti yang dikenakan ke atas ADUN lain yang lebih awal meninggalkan parti.

Jaujan bagaimanapun berkata, ahli parti diminta tidak terlalu risau dengan situasi semasa Warisan ketika ini kerana dakwanya, Warisan masih kuat.

Apa pun dalam situasi hari ini, Hajiji boleh dengan yakin meneruskan pentadbirannya tanpa UMNO dan Warisan, dua parti yang juga membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Bagi UMNO dan Warisan, situasi ini lebih kurang sama seperti Bersatu terlepas peluang membentuk kerajaan Persekutuan setelah menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang akhirnya mendorong BN bersama PH walaupun terpaksa mengorbankan prinsip “No Anwar No DAP,”

Cuma Hajiji lebih selesa apabila mendapat jumlah sokongan yang mencukupi tanpa perlu lagi mendapatkan sokongan UMNO dan Warisan.

Dengan kekuatan yang ada, pergolakan politik di Sabah yang tidak pernah sepi dengan lompat melompat dijangka tidak berulang kecuali kumpulan ADUN yang kini bersama Hajiji ‘buat hal’.

Pada masa yang sama, Sabah perlu menyegerakan akta berkaitan antilompat parti bagi mengelakkan kecelaruan politik yang berterusan.

Uhtuk rekod PRN16 berlangsung apabila Ketua Menteri ketika itu, Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai 2020.

Pembubaran itu menyusul selepas bekas Ketua Menteri Sabah sebelum itu, Musa Aman mendakwa memperoleh sokongan majoriti mudah 33 wakil rakyat Sabah bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Gabungan tersebut membabitkan beberapa parti Perikatan Nasional (PN) iaitu UMNO, Bersatu, STAR dan PBS.

Namun situasi hari ini amat berbeza kerana Hajiji pada hari ini menguasai 47 ADUN yang menyokongnya. Beliau tidak perlu lagi bimbang dengan kekuatannya. Terhyata langkahnya tidak sumbang.

Related posts

Leave a Comment