Malaysia tidak restui keganasan

BANGKOK 10 Feb. – Kerajaan tidak merestui sebarang tindakan yang berunsurkan keganasan sebagai jalan untuk menyelesaikan sebarang konflik di selatan Thailand, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas konflik yang sudah berlarutan sejak sekian lama, Malaysia sendiri berkongsi matlamat sama untuk mengekal dan memastikan keamanan berterusan bagi kedua-dua negara.

“Malaysia dan Thailand bersama-sama ASEAN menzahirkan kebimbangan (mengenai konflik di selatan Thailand) dan pada masa sama memperakui bahawa apa yang berlaku di sana adalah isu dalaman Thailand.

“Namun ia tugas kami sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk memudah cara proses itu (rundingan damai konflik selatan Thailand). Sebab itu kita setuju melantik bekas Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) sebagai fasilitator, untuk bekerja dan mencari jalan bagi membantu,” katanya.

Menurut Anwar, beliau sendiri dikenali ramai di kawasan selatan Thailand dan soal kelunturan kepercayaan, kebimbangan dalam isu ini berkaitan.

“Saya secara peribadi dikenali ramai rakan di selatan dan isu kekurangan rasa percaya, kebimbangan mengenai soal budaya dan agama akan diberikan perhatian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha di Government House di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata rakan sejawatnya melalui pertemuan bersetuju bahawa kepentingan pembangunan hubungan dua hala perlu diteruskan.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri menegaskan, beliau dan Prayuth melalui mesyuarat hari ini kekal mengutamakan sektor ekonomi dan pembangunan serta isu berkaitan perdagangan, termasuk pembangunan sempadan.

“Di sesetengah tempat kita cemerlang (contohnya) dalam industri getah dan minyak sawit, tetapi dari segi keselamatan makanan, makanan sedia dimakan (MRE) dan tenaga, mereka (Thailand) jauh ke hadapan,” katanya.

Perdana Menteri juga memberitahu Malaysia dan Thailand juga berkongsi kebimbangan mengenai isu kemanusiaan membabitkan pelarian Rohingya yang bebannya kini ditanggung bersama oleh beberapa negara ASEAN.

Justeru ASEAN diajak mengambil tindakan berterusan yang bersepadu secara bersama sebagai sebuah badan serantau untuk mendepani isu berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak turut berbincang secara lanjut mengenai isu berkenaan dan beliau sendiri merayu dengan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-Cha mengenai perkara itu, walaupun Thailand mempunyai isu sendiri berkaitan sempadan seperti dihadapi Malaysia.

“Kami (Malaysia) menghadapi hampir 200,000 pelarian dan tidak banyak yang boleh kami lakukan kecuali meneruskan penglibatan membina kami dengan junta Myanmar.

Kebimbangan kami terhadap Myanmar untuk menyelesaikan isunya secara dalaman terutamanya di Malaysia kerana bilangan pelarian Burma yang paling tinggi, malangnya adalah di Malaysia.

“Ada had yang boleh kita lakukan kerana Malaysia adalah sebuah negara kecil,” katanya.

Anwar memaklumkan, selain Prayuth, beliau juga membincangkan perkara sama ketika bertemu rakan sejawatnya di Indonesia dan Singapura.

Related posts

Leave a Comment