Terkejut, sedih keputusan MKT UMNO

BATU PAHAT 28 Jan. – Pucuk pimpinan UMNO mempunyai tanggungjawab besar untuk melihat dan mendengar tanggapan umum serta akar umbi berikutan pemecatan dan penggantungan anggota parti itu malam tadi.

Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi, berkata banyak pihak terkejut dan sedih dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), memecat dan menggantung pemimpin parti yang dilihat cenderung mengkritik kepemimpinan Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Secara peribadi saya rasa ramai yang terkejut dan sedih dengan apa yang diputuskan semalam. Dari segi persepsi, sudah tentu kita perlu ‘manage’ (urus), sama ada di peringkat ahli parti dan juga di peringkat rakyat secara umum.

Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus fokus kepada usaha pembangunan negeri dan semangat perpaduan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri berharap perkara ini tidak mengganggu fokus pentadbiran negeri dalam menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor di Dewan Che Ann Khor, Yong Peng, dekat sini.

Hadir sama, Presiden MCA,  Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.

Beliau mengulas keputusan MKT UMNO yang menggantung beberapa pemimpin dan ahlinya, termasuk Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohamad, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian serta bekas Menteri Besar Johor digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Tempat Hasni, yang juga ADUN Benut itu diambil alih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Related posts

Leave a Comment