Bakar satu, 1 juta naskhah al-Quran dicetak

PUTRAJAYA 28 Jan. – Malaysia akan mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

Selain pembabitan kerajaaan Malaysia dan Yayasan Restu, usaha ini turut memerlukan sokongan serta kerjasama setiap negara Islam.

“Kita bantah keras kegilaan manusia yang sanggup membakar kitab suci al-Quran. Daripada membakar satu al-Quran, Insya-Allah Malaysia melalui Yayasan Restu akan berusaha secara berperingkat mencetak dan menyebarkan satu juta naskhah al-Quran.

Itu jawapan terbaik menghadapi kegilaan orang dan Insya-Allah, ia bukan sahaja untuk dibaca tetapi dapat menjadikan bahan untuk dihayati,” katanya selepas melawat Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Nasyrul Quran di sini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2 juta kepada pihak Nasyrul Quran.

Perdana Menteri juga menyatakan akan menghubungi negara Islam berkaitan supaya usaha mengedarkan al-Quran dalam jumlah besar dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

Katanya, sebahagian besar peruntukan adalah daripada kerajaan dan dibuat secara berperingkat termasuk wakaf.

Related posts

Leave a Comment