Malaysia kutuk tindakan bakar al-Quran

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom semalam.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara itu.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu bukan sahaja mengundang provokasi dan sensitiviti  kepada Turkiye, malah lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia turut mengeji sebarang bentuk kebencian serta menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan yang meningkat atas alasan kepercayaan agama dan etnik.

Tegasnya, Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian bahawa amat penting memartabatkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Malaysia menggesa komuniti antarabangsa menolak sikap perkauman dan agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, malah kekal bersatu menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan,” katanya.

Semalam, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Paludan bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Related posts

Leave a Comment