PN senarai pendek calon mampu menang

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Perikatan Nasional (PN) akan menyenarai pendek individu yang mampu menang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka  diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin berkata, bagi tujuan itu gabungan itu amat berhati-hati dalam proses rundingan atau meneliti pemilihan calon.

PN yang ketika ini menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah berhasrat untuk p memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Negeri Sembilan dan tidak mustahil juga boleh menang di DUN Pulau Pinang.

“PN perlu memastikan semua calon yang akan bertanding kali ini bukan sahaja boleh diterima oleh orang Melayu tetapi juga diterima baik oleh bukan Melayu terutamanya di tiga negeri yang dikuasai oleh PH ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di Ruang Legar Menara PGRM, di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, PN optimis mampu meraih kemenangan di tiga negeri dikuasai PH dan meneruskan penguasaannya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Hamzah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri di bawah PN.

Sementara itu, Presiden Parti Gerakan, Dr Dominic Lau, turut menegaskan prinsip utama rundingan parti itu adalah memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang, berkata ketika ini rundingan di antara parti komponen masih berjalan.

“Siapa yang akan jadi calon, bukan isu besar. Apa yang lebih penting siapa yang mewakili PN untuk menang kerusi.

“Ini adalah prinsip utama kami (Gerakan). Kita akan (tetap) bertanding mewakili PN tetapi paling penting perlu menang pada PRN depan,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment