PN tambah kerusi Parlimen di Kedah

PUTRAJAYA 7 Dis. – Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi P 107 Padang Serai selepas calonnya tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Kemenangan PN pula menambah penguasaan gabungan Pas, Bersatu, Gerakan itu di Kedah dengan menenangi 14 kerusi manakala PH terpaksa berpuas hati dengan satu kerusi iaitu Sungai Petani manakala BN gagal memenangi sebarang kerusi.

Pada pilihan raya hari ini calon PN, Azman Nasrudin menang selesa dengan majoriti 16,260 undi.

Azman yang memperoleh 51,637 undi, menewaskan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak yang memperoleh 35,377 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj yang memberi laluan kepada PH memperoleh 2,983 undi.

Seorang lagi calon yang memberi laluan, Mohd Bakhri Hashim (Warisan) hanya memperoleh 149 undi manakala Sreanandha Rao (Bebas) 846 undi dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang) 424.

BN dan Warisan memberi laluan kepada PH sebagai tanda kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri Perak dan Pahang.

Hari pengundian Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada hari ini selepas calonnya, M Karupaiya, yang juga penyandang kerusi itu meninggal dunia pada 16 November lalu menjelang pengundian 19 November.

Peratus pengundian bagi Parlimen adalah sejumlah 68.95 peratus, menjadikan keseluruhan peratusan pengundian bagi Dewan Rakyat setelah selesai urusan PRU15 sepenuhnya pada hari ini adalah 74.71 peratus.

Azman, bekas guru dan mesra dipanggil Cikgu Man, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas selama dua penggal sejak memenanginya pada PRU13 dan mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR.

Dalam peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan pusat bertukar daripada PH kepada PN, beliau turut meninggalkan PH dan membentuk kerajaan negeri PN bersama-sama ADUN Pas, UMNO dan Bersatu.

Beliau juga kini Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah.

Parlimen Padang Serai yang sebelumnya dinamakan Kulim Utara sehingga PRU 1974, mula dimenangi PKR pada PRU 2008 melalui N Gobalakrishnan yang menyandang kerusi itu selama dua penggal.

Penguasaan PKR kemudian teruskan oleh N Surendran pada PRU 2013 dan seterusnya oleh mendiang Karupaiya pada PRU 2018.

Related posts

Leave a Comment