MA63, kos sara hidup keutamaan Anwar

KUCHING 19 Jan. –  Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta fokus menangani kos sara hidup rakyat adalah antara yang menjadi keutamaan Anwar Ibrahim sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Menurut Anwar berhubung MA63, arahan pertama dikeluarkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof ialah mengetuai pasukan khas untuk menyelesaikan isu MA63 secepat mungkin.

Katanya, MA63 adalah perjanjian untuk membentuk sebuah negara dan ia harus dipegang serta dihormati.

“Sebab itu, saya memberi keutamaan kepada permasalahan yang tidak kunjung padam mengenai MA63. Kita dalam dunia politik berpegang kepada prinsip al-Quran bahawa perjanjian itu harus dipegang dan ditunai, jadi saya pegang prinsip itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Jamuan Negeri bersama Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.

Hadir sama Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Mohd Asfia Awang Nassar serta barisan Kabinet Sarawak.

Katanya, walaupun beliau tidak terbabit ketika MA63 dimeterai 60 tahun lalu namun beliau berpegang kepada prinsip bahawa perjanjian itu harus dipegang.

Beliau mengakui Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri terdahulu bersama Premier Sarawak sudah melakukan beberapa perubahan terrmasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Namun dengan kesempatan yang diberikan kepada saya (sebagai Perdana Menteri) kita cuba usaha bersungguh-sungguh (untuk menyelesaikan isu MA63).

“Ia bukan sekadar slogan politik atau sekadar untuk mendapatkan dokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi untuk menunaikan amanah yang kita pikul secara serius,” katanya.

Anwar mengakui, pembangunan Sarawak dan Sabah masih ketinggalan berbanding wilayah Semenanjung selepas enam dekad pembentukan Malaysia dan beliau berikrar untuk memperbetulkannya.

“Pembangunan Sabah dan Sarawak bukan asing bagi saya, puluhan tahun dalam politik sejak dari dalam kerajaan kemudian menjadi pembangkang dan kini dalam kerajaan semula, saya nampak apa yang berlaku di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, sebagai sebuah negara Persekutuan, sukar untuk mengangkat semangat idealisme serta martabat negara jika perasaan rakyat, sama ada kaum atau agama atau wilayah terguris dan tidak cuba dirawat.

“Justeru menjadi tugas pimpinan untuk merawat bukan untuk menambah luka dan tugas saya merawat seterusnya menyampaikan kepada yang berhak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment