Anwar mampu tingkat martabat negara

KUCHING 19 Jan. –  Pengalaman luas yang dimiliki  Anwar Ibrahim membolehkan Perdana Menteri mentadbir Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan martabat Malaysia di mata dunia, kata Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg

Beliau berkata, dengan latar belakang politik yang disegani, Anwar, berkeupayaan menjadi Perdana Menteri yang akan meletakkan Malaysia sebagai negara tersohor dan dihormati.

Justeru katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi kepercayaan kepada Anwar untuk menerajui kerajaan sejurus Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kita lihat penggal yang lepas, politik negara kita tidak aman dan kita terpaksa mencari jalan untuk menyatu padukan rakyat Malaysia.

“Sebab itu selepas pilihan raya yang lalu dan tercetus keadaan politik yang tidak menentu kita bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Majlis bagi meraikan lawatan rasmi pertama Anwar ke Sarawak sebagai Perdana Menteri turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Mohd  Zuki Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Mohd Asfia Awang Nassar.

Abang Johari turut menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan langkah tepat bagi mengembalikan kestabilan politik negara dan menjadi asas untuk bersama bekerja membangunkan negara dalam keadaan yang stabil.

Justeru GPS akan sentiasa berada di belakang Perdana Menteri untuk memastikan kestabilan berterusan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Related posts

Leave a Comment