Ayam masih belum bertelur

BENTONG 19 Jan. – Bekalan telur dijangka stabil di pasaran dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, sekali gus mengatasi kekurangan dan memenuhi keperluan pengguna, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata isu tersebut sudah bermula sejak beberapa bulan lalu pada tahun lepas kerana kekurangan baka ayam penelur.

“Jadi bila kita sudah dapat membawa masuk baka ayam yang baharu, dan ia perlukan tempoh enam bulan untuk bertelur. Tempoh enam bulan itu sudah hampir ke penghujung, dan berada dalam fasa akhir.

“Apabila kita sudah sampai ke fasa tersebut, Insya-Allah bekalan telur akan stabil kembali,” katanya kepada media selepas meninjau Program Jualan Rahmah di pasar raya TF Value Mart di sini, hari ini.

Mengulas program Jualan Rahmah tersebut, Fuziah mengalu-alukan penyertaan peserta industri, khususnya hypermarket dan pasar raya di negara ini  yang memberi situasi menang-menang antara peserta industri dan pengguna.

Program Jualan Rahmah yang diperkenal KPDN akan dilaksana secara berterusan di seluruh negara dari semasa ke semasa dan bukan sahaja akan dilaksanakan pada sambutan perayaan tertentu tetapi juga pada hari-hari biasa.

Fauziah berkata, Program Jualan Rahmah adalah program kolaborasi bersama peserta industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermatket yang menawarkan 18 barangan dengan harga diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.

Beliau berkata, tidak ada kos dihadapi kerajaan kerana ia adalah inisiatif kerajaan yang berunding dengan pasar raya bagi memastikan bahawa rakyat dapat keuntungan kerana harga murah, mana kala pasar raya boleh membuat jualan yang besar.

Di Pahang, jualan serentak selama sehari membabitkan 11 daerah yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus murah daripada kebiasaan.

Related posts

Leave a Comment