JDT menang percuma Piala Sumbangsih?

KUALA LUMPUR 8 Mei – JDT bakal diberikan kemenangan percuma? Persoalan ini timbul apabila Selangor FC memutuskan untuk ‘tidak hadir’ ke perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat kelab terbabit selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan mereka untuk menunda aksi berkenaan.

Selangor FC dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan keputusan sukar untuk tidak hadir ke perlawanan itu diambil selepas penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.

Kelab itu memaklumkan, ia berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku membabitkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang sudah lama kelab ini nantikan.

Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” kata Selangor FC.

Semalam, Selangor FC dilaporkan mengemukakan permohonan kepada MFL untuk menunda aksi Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan.

.Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan permohonan itu dikemukakan atas dasar keselamatan dan memohon MFL membuat penelitian mengenai perkara itu.

“Selangor FC membuat permohonan secara rasmi sekiranya pihak MFL dan juga JDT (Johor Darul Ta’zim) bersetuju untuk perlawanan Piala Sumbangsih kalau dapat diubah, bukan dibatalkan atas dasar keselamatan,” katanya.

MFL dalam kenyataan, hari ini, bagaimanapun menolak permohonan Selangor FC dan memutuskan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang akan berlangsung minggu ini akan dijalankan mengikut jadual termasuk perlawanan Piala Sumbangsih.

Keganasan terhadap pemain bola sepak ketika ini menggusarkan banyak pihak dengan pemain Selangor, Faisal Halim sedang dirawat di hospital selepas menjadi mangsa simbah asid, Ahad lalu.

Pemain JDT, Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

Nnn

Related posts

Leave a Comment