Presiden, Timbalan Presiden UMNO tidak dicabar

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak akan dicabar pada pemilihan parti itu selepas Perhimpunan Agung UMNO hari ini, meluluskan usul tambahan supaya kedua-dua jawatan terbabit tidak dipertandingkan.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin, sebelum sesi penggulungan perbahasan dimulakan.

Usul tambahan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diluluskan melalui undian kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan pada pukul 4.55 petang, hari ini.

Usul itu diluluskan selaras dengan Fasal 30, Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, semalam.

Pemilihan UMNO perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, selaras pindaan perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, merayu kepada semua perwakilan UMNO dalam Dewan Merdeka supaya tidak meluluskan usul tambahan berkenaan, sebaliknya memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti.

Beliau turut memberi jaminan pertandingan dua jawatan itu tidak akan menyebabkan UMNO berpecah-belah, sebaliknya akan menyokong mana-mana individu yang mendapat mandat menerajui UMNO.

“Saya janji bahawa pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti. Siapa yang menang, kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen UMNO. Ini prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.

“Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan UMNO dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat UMNO,” katanya.

Related posts

Leave a Comment