Lebih 90 % sokong tiada pertandingan dua jawatan

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  Berdasarkan jumlah yang berdiri dan mengangkat tangan, lebih 90 peratus perwakilan UMNO menyokong usul tambahan supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin telah meminta perwakilan yang menyokong berdiri dan mengangkat tangan.

Ketika proses undian berjalan, katanya, lebih 90 peratus perwakilan berdiri dan mengangkat tangan sebagai tanda menyokong usul supaya dua jawatan tertinggi UMNO itu tidak dipertandingkan dan hanya sebilangan kecil yang tidak berdiri.

“Apabila usul dikemukakan untuk undian, lebih 90 peratus perwakilan memberi sokongan supaya pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dilaksanakan demi mengekalkan solidariti dalam parti dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” kata pada sidang media di WTC petang ini.

Ahmad berharap keputusan itu dapat membantu enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana kami sendiri di Terengganu akan menghadapi PRN tak lama lagi. Kami kalah di Terengganu, Kelantan dan Kedah dengan kosong (kerusi Parlimen akibat politik wang (dalam Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Kita harap dengan keputusan ini membawa hala tuju baharu untuk melihat UMNO bangkit kembali, menyuburkan penyatuan antara kita dan menyokong enam negeri dlm PRN akan datang,” katanya.

Ahmad juga menegaskan usul itu tidak melanggar Perlembagaan UMNO seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya peraturan parti membenarkan usul tambahan dibuat, malah ia dipersetujui Pengerusi Tetap UMNO.

Beliau percaya usul tambahan itu penting untuk diluluskan kerana UMNO berisiko berdepan PRN dalam keadaan berpecah jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibenarkan untuk dipertandingkan.

Menurut Ahmad, jika berlaku pertandingan, bagaimana anggota parti dapat memberi fokus kepada PRN jika mereka yang terlibat bergaduh dan sibuk dengan pertandingan dua jawatan ini.

“Kalau pemilihan dua jawatan ini, akan ada yang kalah dan menang. Ada yang merajuk, ada yang sabotaj. Jadi tiada penyatuan.

“Kita tahu ada yang kecewa (dengan kelulusan usul tambahan), tapi hanya sebahagian kecil yang kecewa. Mana ada parti yang boleh puaskan hati semua pihak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan mengatakan usul tambahan itu dirancang pimpinan tertinggi parti, sebaliknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri pernah menolak daripada usul itu dibawa dalam PAU 2022.

Katanya , semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang lalu, ada pandangan supaya tiada pertandingan dua jawatan ini untuk pastikan parti tak berpecah dan UMNO boleh fokus bersaing di enam negeri dalam PRN.

Bagaimanapun Presiden UMNO menolak cadangan itu dengan mengatakan beliau sedia dicabar untuk menyuburkan demokrasi dalam UMNO, dan MKT buat ketetapan usul itu tidak termasuk dalam PAU 2022.

“Tiba-tiba perwakilan Negeri Sembilan mengemukakan usul tambahan. Ia menimbulkan polemik dan ada yang dakwa UMNO ingin matikan demokrasi dalam parti. Saya nafikan, ini tak berlaku,” katanya.

Related posts

Leave a Comment