Pemilihan: Sampai bila tunggang alasan perpaduan?

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) semalam, didakwa tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan hari ini.

Jurucakap UMNO Johor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menegaskan usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Tegasnya, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.

“Macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya,” katanya.

Pandak mempersoalkan berapa lama lagi ahli UMNO mahu menunggang isu perpaduan dan kestabilan parti semata-mata mahu menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

Beliau mempersoalkan mengapa hanya dua jawatan itu mahu dihalang daripada dipertandingkan, jika benar kumpulan yang menyokong cadangan berkenaan benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan parti.

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya sinis.

Pada masa sama, beliau mendakwa, cadangan menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan dilihat canggung kerana bertentangan dengan semangat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia mempertahankan jawatan disandangnya.

“Seingat saya, presiden telah berjabat tangan, menyebut ‘ready to fight’ (sedia bertempur) kepada Khairy Jamaluddin. Seingat saya, presiden pun berjiwa besar.

“Seingat saya, presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden.

“Tapi semalam kita pula membahaskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti,” katanya.

Media melaporkan cadangan usul tambahan yang dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (sementara), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam catatan Facebooknya berkata, mereka yang boo hanya dua tiga kerat Ketua Bahagian yang pro perancang utama SD dokong Muhyiddin sebagai PM.

“Sedangkan hampir dua pertiga perwakilan berdiri sokong usul tambahan oleh wakil Negeri Sembilan. Tetapi bila pembahas seterusnya sampai ke petang menyokong usul tiada pertandingan mereka senyap menyepi.

“Apa pun tengok hari ini. Usull itu akan diundi. Jangan pula tuduh di belakang, parti tidak demokratiik setelah diundi. Boo itu sendiri adalah demokrasi walaupun tidak bersusila,” katanya.

Sebelum itu, Puad memberi pendapat berbeza berkaitan, “ready to fight’ yang dikatakan Ahmad Zahid kepada Khairy Jamaludin kelmarin.

“Pada KJ itu bermakna Zahid sedia dilawan untuk jawatan Presiden UMNO. Ready to fight juga ada makna lain. Iaitu sedia melawan musuh habis habisan di PRN 6 negeri nanti. Jangan timbul waktu PRU dan pemilihan parti sahaja tetapi membisu di waktu lain.

“KJ dakwa menghalang pertandingan jawatan nombor satu dan dua adalah gila. Bukankah itu keperihatinan mengikut keperluan semasa. Mana tahu PRN berlaku masa pemilihan parti.

“Apakah demokrasi hanya berlaku bila ada pertandingan? Bila majoriti perwakilan sokong tiada pertandingan, apakah itu bukan demokrasi? Kegilaan ialah bila semua hilang fokus dan money politic kembali berkuasa,” katanya.

Foto FB: Pandak Ahmad (tengah) bersama perwakilan Johor

Related posts

Leave a Comment