Pembayaran terbuka laluan LRT, MRT, Monorel

KUALA LUMPUR 26 Okt. –  Pelan pelaksanaan pembayaran terbuka sedang dimuktamadkan untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang, selain transit aliran massa (MRT) serta Monorail.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sistem ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri, selain kaedah sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go ataupun token.

Katanya, kerja-kerja reka bentuk dan pembangunan dijangka bermula Mac 2024 dan Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk pembayaran terbuka.

“Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap. Sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembang dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya,” katanya.

Loke memberitahu demikian semasa menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga memaklumkan, untuk seluruh rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter di Lembah Klang, penaiktarafan sistem tiket atau kutipan tambang automatik( AFC) kini hampir selesai.

Katanya, mulai pertengahan bulan depan, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baharu yang menelan kos RM29 juta.

Kemudahan di semua 57 stesen Komuter di Lembah Klang dilengkapi alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS).

Menjawab soalan tambahan berkenaan pemberian diskaun bagi pembayaran terbuka khususnya yang menggunakan kad debit dan kad kredit, Loke berkata, buat masa ini, pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan atau My50 sudah menawarkan kadar diskaun cukup baik.

“Kita sudah ada satu sistem untuk diskaun cukup baik iaitu My50, kad bulanan yang memberikan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa had di mana-mana penggunaan perkhidmatan awam selama 30 hari untuk RM50,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk meneruskan program ini untuk belanjawan tahun depan.

“Bagi saya, ini cukup memadai, murah dan saya berani kata ini adalah ‘multi pass’ (pas berbilang) yang paling murah di dunia bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment