Usul tiada pertandingan membimbangkan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dilihat suatu pendirian yang membimbangkan.

Katanya, ia juga dibimbangi boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Mengikut Perlembagaan berkaitan memilih jawatan, ia hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya yang dilaksana di peringkat bahagian.

“Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 hari ini.

Justeru, beliau menegaskan ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ismail Sabri turut menjelaskan, usul itu masih terikat dengan notis usul seperti ditetapkan dalam fasal 10.1 perlembagaan UMNO.

“MKT mungkin boleh mencadangkan satu-satu usul. Ada yang berpandangan usul asalnya adalah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden iaitu ada tujuh perkara yang dicadangkan, tetapi (ada) tambahan satu lagi usul.

“Jadi ada yang berpandangan tidak boleh ditambah seperti itu, kerana dari segi notis usul dalam fasal 10.1, usul dari bahagian mesti 14 hari notis dan usul dari MKT mesti tujuh hari.

“Usul tadi cuma semalam dibawa dan masukkan terus. Walaupun ada sebut pindaan (terhadap usul asal), pindaan kalau di bawah fasal 20.3 pun, mengatakan jika ada pindaan ke atas usul sama, kalau nak perbetulkan dari perkataan dan ayat, memang boleh, tapi bukan ditambah, itu pun ada pandangan berbeza.

“Ada yang kata kalau pengerusi benarkan, pun boleh. Ada kata tak boleh, sebab tertakluk kepada notis apa yang boleh dipinda, bukan ditambah macam itu saja,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tidak pernah berlaku sehingga perwakilan membawa usul sedemikian dalam PAU kerana ia dilihat seolah-olah mengenepikan pandangan akar umbi.

“Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun, 22 tahun dia jadi presiden tidak ada arahan yang keluar (dari PAU) tak boleh jawatan presiden dan timbalan presiden tak boleh dipertandingkan.

“Walaupun tidak ada yang lawan Dr Mahathir waktu itu, tidak bermakna (kena) keluar arahan tidak boleh ditandingi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment