PAU tetapkan hala tuju, bincang persiapan 6 PRN

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) akan memberi tumpuan mengenai hala tuju parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, berkata UMNO juga akan melihat semula pencapaian teruk parti pada PRU15 hingga gagal memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Laman Media PAU 2022, di sini hari ini, Ahmad Maslan berkata, PAU juga tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15.

Sebaliknya tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.

PAU 2022 membuka tirai malam ini dengan perasmian persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur manakala PAU 2022 bermula Jumaat hingga Sabtu.

Pada pukul 2.30 petang ini, satu sesi taklimat khas presiden diadakan di Dewan Merdeka yang dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Ahmad Maslan percaya perbahasan yang bermula esok oleh sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan menyentuh bagaimana mahu menang pilihan raya enam negeri itu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, UMNO juga akan mendengar pandangan dan mengapa wujud keluarbiasaan prestasi UMNO pada PRU15 supaya puncanya boleh diperbaiki pada masa depan.

“Apa yang kita boleh belajar dari PRU15. Walaupun kita menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), menang 21 kerusi (Dewan Undangan Negeri) dari 28 kerusi di Melaka atau 40 kerusi DUN dari 56 kerusi di Johor.

“Kemenangan di tujuh PRK dan dua PRN itu, presidennya adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kenapa masa PRU, kita tidak dapat ulangi kejayaan di dua PRN dan tujuh PRK itu?. Sudah tentu ada perkara luar biasa yang berlaku menyebabkan kami tewas.

“Saya mahu mendengar pandangan dan mengapa wujud keluarbiasaan itu. Apa sebab, puncanya yang kami boleh perbaiki pada masa depan,” katanya.

Mengenai pemilihan parti, Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan semua peringkat bermula dari cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk sayap yang perlu diadakan sebelum 19 Mei depan.

“Pada 19 November lalu, kita mengundi (PRU ke-15), dalam tempoh enam bulan (selepas) itulah (pemilihan parti mesti diadakan).

“Segala hal pemilihan parti hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023. Pengumuman tarikh tidak dibuat semasa perhimpunan ini, ada tempoh beberapa minggu lagi untuk kita buat keputusan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment