UMNO Sabah tidak iktiraf lantikan Kabinet

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak mengiktiraf pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakli parti itu yang membarisi Kabinet baharu negeri dalam rombakan yang diumumkan Ketua Menteri, Hajiji Noor, hari ini.

Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat,  Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya, serta ADUN Sugut, James Ratib  sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin, berkata ia disebabkan UMNO negeri tidak memberikan cadangan untuk dua ADUN terbabit dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji.

“UMNO secara konsisten menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji tidak boleh mendakwa lantikan mereka mewakili UMNO Barisan Nasional (BN) melainkan mereka dilantik atas kapasiti peribadi.

UMNO akan memperhalusi tindakan terhadap pemimpin UMNO yang belot untuk dibincangkan bersama Presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga ADUN Lamag mengulas senarai Kabinet baharu Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu dalam rombakan yang diumumkan hari ini.

Barisan Kabinet baharu itu menyaksikan dua wakil UMNO yang menyokong Hajiji iaitu Shahelmey dan James turut menganggotainya, selain dua wakil dari Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Bung Moktar pula digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya dalam rombakan itu.

Sementara itu, Bung Moktar turut menyifatkan pelantikan itu membelakangkan nasihat dan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah.

“Perlu diingat pembentukan kerajaan perpaduan, BN turut membantu dan perkara ini perlu dilihat oleh Ketua Menteri,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kemelut politik Sabah belum berakhir dengan pelantikan anggota baharu Kabinet itu.

“Game still on (belum tamat),” katanya mengulangi kenyataannya sebelum ini apabila Hajiji menjelaskan mempunyai sokongan majoriti dengan 44 ADUN memihak kepadanya.

Beliau mengingatkan Hajiji supaya bersikap adil dengan rakan Kabinet tanpa campur tangan secara langsung dalam soal pentadbiran kementerian masing-masing.

“Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Pada masa yang sama Bung Moktar berkata, UMNO Sabah juga bersedia untuk menjadi pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan perkembangan politik semasa.

Related posts

Leave a Comment