7 ADUN PH Sabah tolak kerajaan ‘pintu belakang’

KOTA KINABALU 5 Jan. –  Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan pendirian untuk tidak sama sekali menyokong pembentukan kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’.

Dalam satu kenyataan bersama malam ini, kesemua ADUN berkenaan berpendirian sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu seharusnya berdasarkan agenda yang konstruktif dan dasar yang baik demi kepentingan rakyat Sabah.

“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah. Kami memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” kata mereka.

Kenyataan itu menjelaskan, jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada ADUN PH, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir mereka selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada November 2022.

Tujuh ADUN berkenaan adalah Pengerusi PH Sabah, Christina Liew (Api-Api), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Ewon Benedick (Kadamaian),  Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Pada 25 November tahun lalu, tujuh ADUN PH itu menyatakan sokongan serta komitmen untuk bekerjasama dengan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN berakhir pada 2025.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun berkata parti itu bersedia membuktikan keabsahan sokongan ADUN Sabah kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Bangsa Malaysia, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Related posts

Leave a Comment