Buka peluang niaga tanpa ganggu kawasan awam

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim ketika bertemu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini menggesa supaya dipertingkatkan kemudahan dan keselesaan untuk penjaja dan peniaga kecil.

Beliau memberi tempoh tiga bulan kepada pihak DBKL untuk mengemukakan ‘rencana baharu’ untuk mengindahkan kota sambil tidak dikesampingkan hak dan keselesaan mereka untuk berniaga.

Kenyataan itu tiba-tiba mengingatkan saya tentang lokasi berhampiran Stesen LRT Ampang Park yang beberapa bulan lalu dipenuhi kabin jualan yang menyesakkan, menyakitkan mata memandang dan menyukarkan pergerakan pengguna LRT.

Tujuan dan niat pihak berkenaan amat baik untuk menyediakan ruang berniaga tetapi pada masa yang sama pemandangannya bukan sesuatu yang ‘mengindahkan’ tetapi menyesakkan.

Entah bagaimana projek di celah-celah laluan awam ini diluluskan. Orang awam seperti saya, amat kecewa melihat kawasan yang dulunya ‘lapang’ dan melegakan setiap kali naik turun LRT Ampang Park bertukar menjadi “sesak”. Ia ‘merampas’ keselesaan awam hanya untuk membuka peluang kepada warga kota berniaga.

Saya difahamkan di situ akan diadakan jualan termasuk makanan, pakaian dan sebagainya seperti bazar. Terdapat sebuah pentas, mungkin untuk hiburan. Jika tidak silap tandas turut disediakan. Ada satu kain pemidang tertera nama SIMPANG.

Mungkin lokasi perniagaan itu bakal dinamakan SIMPANG. Memang betul pun terletak berhampiran simpang Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang.

Kita menyambut baik dan mengalu-ngalukan usaha pihak berkuasa untuk membantu warga kota mencari rezeki dengan mewujudkan peluang perniagaan tetapi janganlah sampai mengorbankan keselesaan orang awam.

Berikutan kenyataan Anwar itu, semalam, saya ke Kuala Lumpur untuk melihat apa terjadi dengan kawasan itu. Agak terkejut juga apabila kabin berkenaan sudah tidak ada. Yang tinggal hanya tiang-tiang besi yang masih terpacak di situ.

Saya tidak pasti apa pula perancangan akan datang di situ. Diharapkan biarlah kawasan itu kembali kosong seperti suatu masa dulu.

Kawasan itu harus dibiarkan kosong bagi memudahkan pergerakan orang ramai terutama pejakan kaki atau pengguna LRT yang mempunyai urusan di Tabung Haji (TH) dan juga bangunan PNB. Tentunya ramai pekerja yang menggunakan laluan itu.

Ketika pembinaan sedang dibuat sekitar Julai lalu, pengguna atau pejalan kaki perlu melalui tempat letak kereta bersebelahan untuk ke TH dan PNB serta sebaliknya. Bayangkan jika kawasan itu dijadikan lokasi jualan. Bertambah sesak dan sulit.

Dulu, pernah juga kelihatan anak-anak muda bersama skateboard di kawasan itu dan tidak kurang yang ‘berehat’ di situ.

Boleh sahaja satu ruang niaga disediakan dengan gerai-gerai kecil di bahagian tepi jalan untuk tempoh tertentu, bukan gerai kekal sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai yang berurusan dengan pejabat di kawasan berkenaan.

Carilah kaedah lain di kawasan berhampiran, contohnya menyediakan ‘food truck’ bagi tempoh tertentu untuk kemudahan pekerja di kawasan berkenaan membeli makanan tengah hari (bungkus) atau juadah minum petang.

Apa yang penting jangan dikorbankan kawasan awam yang sudah semakin kurang di bandar raya ini. Indahkan kawasan itu dengan landskap dua tiga pokok segera untuk orang ramai berehat seketika sebelum meneruskan destinasi.

Diharapkan DBKL memulihkan semula kawasan sekitar LRT Ampang Park. Biarkan ia sebagai satu kawasan kosong kerana lambat laun tempat letak kereta di sebelahnya juga akan dibangunkan yang bakal menampakkan lagi ‘kesesakan’ di situ.

Related posts

Leave a Comment