Covid-19: Pengembara masuk Malaysia disaring

PUTRAJAYA 30 Dis. – Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

Katanya, pengembara yang dikesan demam, bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

“Sekiranya disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini susulan pengumuman China melonggarkan pengurusan Covid-19 mulai 8 Januari ini yang akan turut membawa kemasukan pelancong dari negara itu.

Beliau berkata, langkah itu antara strategi utama Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 di negara ini, selain perubahan dasar pengurusan pandemik di China.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) sebelum ini memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.

Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan dan jumlah kematian membimbangkan.

Dr Zaliha berkata, usaha memperkukuhkan survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal dilaksanakan dengan ujian lanjut ke atas sampel positif Covid-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Pada masa sama, katanya, survelan ke atas sampel bagi kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) di 59 klinik sentinel dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di 18 hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

Bagi tujuan itu, katanya, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR serta penjujukan genom (WGS) sekiranya positif Covid-19.

“Bagi meningkatkan pengesanan varian baharu, semua kes ILI dan SARI di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan individu seperti itu itu dalam tempoh 14 hari terakhir, akan dibuat ujian RTK-Antigen Covid-19.

Dr Zaliha berkata, KKM sentiasa memantau perkembangan jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa khususnya menerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan laporan mingguan situasi situasi Covid-19 oleh WHO, jelasnya, sebanyak 148,659 kes positif Covid-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember) dilaporkan di China.

Secara keseluruhan , trend kes Covid-19 terkawal termasuk Malaysia dan sehingga  24 Disember lalu, sebahagian besar varian SARS-CoV-2 yang dikesan di Malaysia adalah varian Omicron (66.17 peratus) diikuti Delta (32.69 peratus), Beta (1.06 peratus) dan Alpha (0.08 peratus).

Mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus meningkatkan kesiapsiagaan dan maklum balas bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti dialami ketika varian Delta melanda.

Dr Zaliha juga memberitahu, pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempatan Jangkitan yang tamat pada 31 Disember ini, dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023 bagi memudahkan KKM menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, pelanjutan itu diwartakan pada 27 Disember lalu melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No 2) 2022 [PU (A) 397/2022].

Related posts

Leave a Comment