Wahai bangsa Melayu, sudah lupakah kamu?

HARI ini 21 Jun 2010. Apakah istimewanya tarikh 21 Jun ini? Bagi sesetengah ahli UMNO atau orang Melayu mungkin akan ingat tetapi kebanyakannya sudah tentu lupa. Maklumlah selepas sembilan tahun, ramai yang mudah lupa. Sebenarnya hari ini genap sembilan tahun, Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai Presiden UMNO menyampaikan ucapan menarik yang ditujukan khusus kepada orang Melayu. Ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2001 itu bertajuk ‘Melayu Mudah Lupa’. Malahan Selak minggu ini juga meminjam ungkapan terakhir dalam ucapan dasar Dr. Mahathir itu sebagai tajuk tulisan minggu ini.

Pada hari ketiga Perhimpunan Agung UMNO itu, semasa ucapan penangguhan atau penggulungan, Dr. Mahathir pada akhir ucapannya juga membaca sajak bertajuk ‘Melayu Mudah Lupa’. Jika ada yang terlupa atau buat-buat lupa eloklah diteliti semula sajak tersebut. Dalam ucapan dasarnya pada 21 Jun 2001, Dr. Mahathir antara lain menyentuh isu-isu berkaitan pencapaian Melayu masih rendah, Melayu di zaman penjajah, kelemahan Melayu, Melayu sudah lupa perjuangan dan ubah sikap untuk selamat! Dan minggu lalu, Dr. Mahathir juga menulis mengenai Melayu melalui blognya, kali ini bertajuk ‘Melayu Ke Mana’. Perkataan Melayu mudah lupa tetap ada di situ. Banyak reaksi diberi terhadap tulisan beliau. Isu yang dibangkitkan dalam ‘Melayu Ke Mana’ adalah mengenai Melayu majoriti yang sudah menjadi minoriti kerana perpecahan.

Melayu berpecah kepada pelbagai puak dan parti politik. Seperti yang diperingatkan oleh Dr. Mahathir dalam ucapannya sembilan tahun lalu, Melayu memang mudah lupa padahal ‘orang dulu-dulu’ sudah mencipta pelbagai peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan untuk sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Boleh dikatakan semua ungkapan yang dicipta oleh orang Melayu pada masa dulu sudah berlaku ketika ini. Malangnya semua ingatan itu sekadar catatan dalam buku-buku berkaitan untuk tatapan pelajar-pelajar. Begitu juga dengan pelbagai kiasan dan kisah untuk renungan seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Tidak lupa juga tentang Kitol dan Raja Mendaliar. Semuanya ini juga bertujuan memberi pengajaran kepada orang Melayu. Tetapi malangnya Melayu sudah lupa semua cerita dan kiasan tersebut.

Orang Melayu lupa tentang bersatu teguh bercerai roboh. Ketika ini Melayu berpecah kepada pelbagai puak termasuk dalam politik. Akhirnya mereka menjadi ‘minoriti’. Mereka lupa pesan orang dulu-dulu sebatang lidi mudah dipatahkan, seikat lidi sukar dipatahkan. Ada yang mengaku mereka mahu bersikap liberal yang mahu hak sama rata dan sama rasa di kalangan pelbagai kaum. Mereka mendakwa orang Melayu pada masa kini sudah mampu menari di tanah rata dan tidak lagi memerlukan ‘tongkat’ untuk berniaga dan belajar sedangkan hakikatnya ketika orang lain sudah mampu menari dengan baik tetapi ‘tarian’ orang Melayu sebenarnya masih sumbang dan keupayaan untuk berjaya dalam ekonomi dan pendidikan juga terbatas. Ada pula Melayu yang mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mendabik dada dengan kejayaan yang sudah dinikmati. Padahal mereka yang berjaya hari ini jugakebanyakannyadisebabkan oleh ‘tongkat’ DEB. Tanpa ‘tongkat’ itu mereka tidak mungkin menikmati apa yang dimiliki sekarang. Malangnya apabila sudah berjaya, mereka bagaikan kacang lupakan kulit. Dalam politik hari ini, orang Melayu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka mendapat sokongan yang diharap-harapkan. Bak kata orang marahkan pijat, kelambu dibakar, tidur terdedah.

Jika dulu bermusuh, kini bersahabat. Begitu jugalah yang berlaku sebaliknya. Jika dulu tidak boleh rapat sekarang sudah boleh berpeluk di atas pentas politik. Baguslah begitu… mengeratkan silaturahim. Tetapi akhirnya mereka gagal untuk mengenali musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. Mereka lebih selesa mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Maka ramailah juga di kalangan orang Melayu yang menjadi seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Apa yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Lebih malang, Yang dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas. Habis madu sepah dibuang. Ketika ini juga untuk berjaya, Melayu sanggup pijak kepala kawan dan tikam belakang.

Sedar atau tidak, orang Melayu ketika ini diasak dari pelbagai sudut disebabkan perpecahan dan kelemahan mereka sendiri disebabkan kepentingan politik masing-masing. Ketika orang lain bersatu untuk kepentingan kumpulan mereka, ada pula Melayu yang sanggup membuka pekung di dada dan meludah ke langit.

Amat mendukacitakan sudah tidak ada perasaan cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga. Cubalah cubit paha sendiri dahulu, baru mencubit paha orang lain. Kita mengharapkan orang Melayu tidaklah menjadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai.

Ketika orang lain dalam politik bersikap diam-diam ubi berisi menjelang pilihan raya umum akan datang tetapi orang Melayu pula seronok bertelagah sesama sendiri. Ada pula yang bersikap bertelur sebiji riuh sekampung. Melayu tanpa kuasa ekonomi nampaknya masih selesa sekalipun akan hilang kuasa politik.

Sebenarnya banyak lagi ingatan yang sudah ditinggalkan oleh orang Melayu pada masa lalu untuk diambil ingatan. Tetapi Melayu tetap leka dan lupa.

Apakah orang Melayu masih berpegang kepada Melayu takkan hilang di dunia seperti diungkapkan oleh Hang Tuah? Memang Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi Melayu mampu hilang dunia. Maka ketika itu, nyanyilah puas-puas lagu Warisan yang antara liriknya menyebut bumi dipijak milik orang. Dan jika Melayu sudah hilang dunia maka sekali lagi Selak meminjam tajuk tulisan Dr. Mahathir iaitu ‘Melayu Ke Mana’.

DALAM tulisannya, Dr. Mahathir berkata, beliau sanggup dilabel dengan apa sahaja sama ada cauvinis atau rasis. Sebelum ini pun, ketika mengulas mengenai sama ada beliau akan menyaman penulis buku, Barry Wain yang ‘menyerangnya’, mantan Perdana Menteri (PM) berkata, beliau tidak akan berbuat demikian.

Kata Dr. Mahathir, penulis buku Malaysian Maverick : Mahathir Mohamad in Turbulent Times dan penyokongnya boleh memperkatakan apa sahaja yang mereka suka mengenai dirinya.

Begitulah kelebihan yang ada pada Dr. Mahathir. Katalah apa sahaja kepadanya tetapi semuanya itu bagaikan mencurah air ke daun keladi atau masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Beliau tidak ‘melatah’ atau ‘melompat’ macam orang lain.

Selaklah kembali pelbagai sumber media semasa beliau menjadi PM.

Berapa banyak gelaran jahat, aib dan memalukan yang dilemparkan kepada Dr. Mahathir oleh musuh politiknya?

Sebut sahaja perkataan-perkataan buruk itu. Macam-macam ‘maha’ digelarkan.

Lukisan atau karikatur sinis , hodoh dan yang menghina juga dihasilkan secara kreatif oleh ‘pelukis-pelukis tersohor’.

Begitu juga dengan fitnah dan kecaman. Banyak cerita buruk, gelaran memalu dan mengaibkan tercatat dalam pelbagai sumber media sama ada buku, majalah, risalah, pojok politik, media cetak, siber dan sebagainya.

Semua gelaran, cercaan, maki hamun, fitnah itu hebat-hebat belaka. Tetapi satu pun tidak dipedulikannya. Kenapa? Itulah kelebihan Dr. Mahathir sebagai ahli politik tulen.

Bayangkan jika gelaran, karikatur atau fitnah itu ditujukan kepada orang politik sekarang.

Kata Dr. Mahathir ‘‘‘Setiap ahli politik harus menerima semua pendapat sama ada menyokong atau menentang. Mereka harus menganggapnya sebagai perkara normal dan meneruskan kerja-kerja yang sedang   dilakukan’’.

UMA210610007C001-min

Related posts

Leave a Comment