FIFA benarkan bawa sebotol air

MEXICO CITY – Penyokong yang menghadiri perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada boleh membawa masuk sebotol air pakai buang ke dalam stadium dengan beberapa syarat keselamatan yang ketat.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam kenyataan terbaharu memaklumkan, hanya botol plastik lembut berkapasiti maksimum 590 mililiter dan masih berpenutup dibenarkan memasuki venue.

Ketua Pegawai Operasi FIFA, Heimo Schirgi berkata, botol keras serta botol guna semula kekal dilarang atas pertimbangan keselamatan.

Katanya , sekatan itu dibuat kerana botol berpotensi menjadi objek berbahaya sekiranya dibaling di dalam stadium ketika perlawanan dijadualkan bermula Khamis depan.

Keputusan tersebut dibuat selepas badan induk itu mengemas kini kod tatakelakuan stadium, termasuk menarik semula garis panduan terdahulu yang membenarkan botol plastik lutsinar guna semula dibawa masuk.

Langkah berkenaan sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong, khususnya mengenai keperluan kekal terhidrat ketika menonton perlawanan, lebih-lebih lagi dengan jangkaan suhu melebihi 25 darjah Celsius di beberapa venue.

Bagi menangani isu tersebut, FIFA memberi jaminan bahawa bandar tuan rumah akan menyediakan kemudahan tambahan seperti stesen hidrasi, kawasan semburan kabus serta khemah penyejukan di sekitar stadium.

Selain itu, harga air minuman di dalam stadium akan dikekalkan selaras dengan kadar biasa yang ditawarkan ketika acara lain berlangsung.

Related posts

Leave a Comment