Anwar nikmati murtabak Kampung Melayu Majidee

JOHOR BAHRU 30 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menikmati murtabak di warung Murtabak Kampung Melayu Azo 96, di Kampung Melayu Majidee di sini.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 12.00 tengah hari, meluangkan masa hampir setengah jam menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat.

Setiba di masjid yang hanya terletak kira-kira 40 meter dari warung itu, Anwar turut menandatangani semula plak perasmian masjid berkenaan.

Anwar dalam catatan Facebooknya berkata, ia mengimbau kenangan 27 tahun lalu tatkala beliau berkunjung ke negeri Johor Darul Takzim untuk merasmikan pecah tanah bangunan masjid.

Beliau ditemani oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Ia adalah kunjungan pertama Anwar ke Johor sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan kemudian menyertai ribuan jemaah di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat, selain beramah mesra dengan orang ramai.

Related posts

Leave a Comment