Mangsa ke-26 ditemukan bersama anjing

HULU SELANGOR 21 Dis. – Mayat mangsa ke-26 kejadian tanah runtuh tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini, ditemukan dalam keadaan berpelukan dengan seekor anjingnya pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata difahamkan, lelaki dewasa itu datang ke tapak perkhemahan itu bersama tiga ekor anjingnya, tetapi hanya dua ekor anjingnya ditemukan bersamanya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh, manakala anjingnya diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media situasi terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata mayat lelaki itu ditemukan di Sektor B (Farm View), di kedalaman lebih empat meter dari aras tanah.

Mangsa dipercayai duduk di Sektor A, tetapi dibawa arus ke Sektor B dan penemuan mayat lelaki ini tidak terlalu dalam seperti mayat ke-25 , seorang kanak-kanak yang ditemukan semalam di Sektor C .

“Cara penggalian pada mulanya kita buat tiga meter terlebih dahulu sebelum menambah lagi satu setengah meter. Di Sektor B kita hanya meletakkan satu jengkaut. Namun, syukur pencarian di situ kita temui lelaki berkenaan bersama anjingnya,” katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya pada 2.42 pagi Jumaat lalu itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 26 nyawa terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 13 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki, lima lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan.

Related posts

Leave a Comment