Pelantikan Ahmad Jazlan ditangguh

PUTRAJAYA 21 Dis. –  Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra seperti diumumkan sebelum ini ditangguhkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 16 Disember lalu, Ahmad Zahid memberitahu, Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Ahmad Zahid berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini, Anwar turut menjelaskan kekeliruan banyak pihak berhubung lantikan politik.

Beliau menegaskan tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat poilitik itu tidak boleh menjadi pengurusan.

“Tetapi mereka itu mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

“Itu saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang ditugaskan tetapi kita menetapkan kaedah dan keupayaan profesional dan prestasi sebelumnya pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jemaah Menteri yang dikatakan sudah memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Ia membabitkan jawatan berkenaan di badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Anwar juga menjelaskan, penamatan jawatan lantikan politik pengerusi dan ahli lembaga pengarah dibuat bagi memberi ruang untuk menilai prestasi masing-masing termasuk supaya tunduk kepada garis panduan dan tata kelola yang ditetapkan kerajaan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu seumpamanya ada satu syarikat kerajaan ada syarikat kecil, syarikat induk itu mengalami masalah kewangan dan syarikat kecil itu keuntungan besar. Jadi syarikat kecil itu nak memberikan bonus yang besar.

“Hal-hal ini kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment