MB Terengganu pulang hari ini

KUALA TERENGGANU 21 Dis. –  Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang ‘dicari dan dinantikan kehadirannya’ ketika musim banjir di Terengganu disahkan berada di Auckland, New Zealand.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Hanafiah Mat sambil memaklumkan Ahmad Samsuri akan pulang hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu, berkata beliau tidak pasti masa ketibaan Menteri Besar itu.

“Sebagai timbalan pengerusi bencana negeri, saya sangat berpuas hati di semua lapangan dan di PPS (pusat pemindahan sementara).

“Semua exco dan juga wakil rakyat memainkan peranan dengan sangat baik. Jadi, tidak timbul soal ketiadaan menteri besar di Terengganu kerana semua urusan banjir di sini terkawal,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai itu.

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu dilanda banjir besar.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarga di Auckland dan dijangka pulang pada esok.

Kali terakhir Ahmad Samsuri dilihat berada di Terengganu ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20 pada 11 Disember lalu.

Sehari sebelum majlis itu, Naib Presiden Pas itu meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Chendering dan Atas Tol di sini serta Tok Jembal di Kuala Nerus.

 

Related posts

Leave a Comment