KUALA LUMPUR 8 Mei – Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berjaya mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Australia Ahad ini bagi melawat kakaknya yang menghidap kanser.
Hakim Azura Alwi, membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen hari ini susulan permohonan peguam bela Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik, yang tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad.
“Pasport akan diserahkan kepada (seorang lagi) peguam (Muhyiddin), Tang Jia Yearn hari ini dan diserahkan kembali kepada mahkamah pada 28 Mei melalui peguam itu,” katanya.
Terdahulu, Hisyam memohon pasport diserahkan sementara kerana anak guamnya akan bertolak ke Australia pada Ahad ini untuk melawat kakak yang berusia 82 tahun.
“Pemohon (Muhyiddin) akan pulang ke Malaysia pada 25 Mei. Oleh itu, pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 28 Mei. Saya mohon pasport diserahkan kepada Jia Yearn yang kemudian akan memulangkannya semula kepada mahkamah,” katanya.
Nor Asma tidak membantah permohonan itu kerana alasan dikemukakan dalam afidavit adalah munasabah.
Pada prosiding sama, Hisyam memohon prosiding kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan semakan kes itu yang akan didengar di hadapan panel lima hakim Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini.
“Kami memfailkan permohonan itu semalam supaya ia boleh didengar terlebih dahulu,” katanya.
Nor Asma mengesahkan penerimaan notis permohonan menerusi e-mel dan akan memfailkan afidavit bantahan.
“Saya mohon empat pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama didengar terlebih dahulu,” katanya.
Azura menetapkan 13 Jun ini untuk pendengaran permohonan penangguhan terbabit.
Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah pada 15 Ogos tahun lalu.
Turut bersidang Hakim, Azmi Ariffin dan S M Komathy Suppiah.
Bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan itu adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
