Anwar ‘jalan terus’ dengan angka 148

SEMUANYA sudah selesai. Bermula dengan rakyat memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November diikuti pembentukan kerajaan Persekutuan melalui  gabungan parti politik sehinggalah undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Masih ada lagi yang tidak kena? Mencari nombor atau angka sudah ada 148. Mencari Perdana Menteri juga sudah ada Anwar Ibrahim, bukan Ismail Sabri Yaakob atau Muhyiddin Yassin. Keabsahan Perdana Menteri juga sudah terbukti.

Sudah sebulan rakyat membuat pilihan. Rakyat tidak ‘serik’ dengan keputusan PRU14 apabila mereka pada kali ini membuat keputusan lebih ‘teruk’ dengan tidak memberi ruang kepada mana-mana parti mendapat kerusi mencukupi.

Jangan salahkan rakyat. Mereka sudah keliru dengan politik. Terlalu banyak parti yang bercita-cita menguasai Putrajaya. Tidak ada parti yang tidak mengaku bakal mendapat majoriti mudah sedangkan hakikatnya ‘sembang kosong’.

Pada PRU 2018, rakyat atau pengundi ‘mengajar’ UMNO atau Barisan Nasional (BN) tentang erti kehilangan kuasa.

Kali ini, bukan sahaja UMNO tetapi semua parti politik terkena tempiasnya. Kelihatan menang banyak kerusi tetapi tidak mampu membentuk kerajaan. Maka ada hikmahnya apabila parti-parti politik ini terpaksa bergabung berkongsi kuasa.

Justeru berkongsilah secara baik. Pedulikan orang kata terpaksa menjilat ludah atau muntah sendiri atau meludah ke langit terkena batang hidung sendiri. Rakyat sudah memilih dan pemimpinlah yang harus meneruskan usaha memakmurkan negara ini.

Mujurlah politik bukan agama. Bukan kitab suci. Politik boleh berubah-ubah. Siang jadi ayam, malam bertukar musang. Sumpah dan ikrar sekadar penyedap ceramah. Cakap lain buat lain. Bayangkan jika politik seperti ajaran agama. Hukuman apa untuk mereka ini? Hakikatnya politik ‘menghalalkan’ cara.

Maka tebalkan muka bagi yang ‘sembang kencang’ semasa kempen pilihan raya atau sebelumnya dengan pelbagai slogan yang menjadi prinsip perjuangan. Bertanding, menang, jadi kerajaan, maka bekerjalah. Hentikan provokasi. Matikan persepsi antara satu sama lain.

“Sudah masanya dihentikan intrik politik yang hanya menempah kita ke kancah perpecahan. Kita manfaatkan gudang suara (Parlimen) ini menelaah dan berbahas soal dasar dan kepentingan rakyat,” kata Anwar di Dewan Rakyat semalam.

Sebutlah, atau labellah sama ada Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Campuran, keabsahan Kerajaan yang ada pada hari ini tidak perlu disangkal lagi. Apa yang penting kerjasama untuk rakyat dalam tempoh lima tahun ini.

Sokongan terhadap kerajaan terbukti semalam apabila calon Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikemukakan kerajaan mendapat sokongan 147 daripada 148 wakil rakyat blok kerajaan. Seorang lagi tidak sempat mengundi. Hakikatnya 148 itu pasti.

Tidak timbul soal majoriti apabila wujud memorandum persefahaman (MoU) bersama gabungan parti – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan.

MoU itu sudah cukup kuat, walaupun keabsahan Perdana Menteri semalam tidak dilakukan secara undi belah bahagian sebaliknya undian suara. Mungkin ini strategi pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN).

Ketika pihak kerajaan boleh mendakwa usul percaya semalam mendapat sokongan majoriti dengan mengukur ‘suara setuju’ lebih banyak, tetapi pembangkang pula masih boleh mempersoalkan nombor atau angka itu.

Berapa undinya? Di atas kertas sudah tentu 148 kerana semua wakil rakyat kerajaan tidak ada pilihan lain selain bersetuju. Jika tidak setuju, secara automatik, mereka hilang kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Anehnya pembangkang tidak meminta undi belah bahagian. Dan persoalan itu terjawab apabila Ahli Parlimen Kota Bharu,  Takiyuddin Hasan menjelaskan bahawa usul itu tidak sewajarnya dibentangkan.

Ini kerana Anwar di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan sudah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Kita tidak minta undi sebab kita tidak undi. Biasanya kalau kita nak tahu apa undi diberi, kita minta undi belah bahagian. Pihak sana pun tidak minta, itu dia punya pasal….kes tutup. Tiada nombor daripada usul ini.

“Tiada 148 (sokongan majoriti dua pertiga), 160 (sokongan)..tak ada. (Seramai) 222 (sokongan) ke? Tak tahu, itu bukan urusan kami,” katanya.

Pendirian tidak meminta undian belah bahagian juga diputuskan sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan yang merangka MoU yang disifatkan mengenepikan hak ekslusif Ahli Parlimen untuk mengundi di Dewan Rakyat.

Adakah ini bermakna tindakan tidak mengundi belah bahagian lebih baik supaya yang ‘dipaksa’ menyokong tidak tergugat maruah atau prinsipnya? Jika diundi juga, adakah yakin 74 akan menentangnya atau jumlah itu kurang, 60 atau 52?

Itu saya tidak pasti, bukan urusan saya sebagai tukang catat angka ini.

Related posts

Leave a Comment