Dewan Rakyat lulus Bajet Mini 2023

KUALA LUMPUR 20 Dis. –  Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Anwar Ibrahim.

Tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Majlis Parlimen Ke-15.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet mini, bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650.

Beliau membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Akta berkenaan akan membenarkan perbelanjaan dikeluarkanemolumen penjawat awam.

Bajet Mini akan berkuat kuasa hingga Bajet 2023 dibentang dan lulus di Parlimen
Ia susulan RUU Perbekalan 2023 tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Januari depan, maka peruntukan perlu dikeluarkan bagi perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Januari hingga tarikh RUU Perbekalan 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

Anwar menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, perbelanjaan segera itu bagi maksud yang dinyatakan dalam penyata sementara, dibentangkan sebagai Kertas Perintah 54 Tahun 2022.

“Jumlah wang berkenaan dalam ruang tiga dan empat penyata itu bertentangan dengan maksud yang dinyatakan dalam ruang satu penyata ini adalah diuntukkan bagi perbelanjaan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan,” katanya.

Mengenai RUU Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022, Anwar berkata, ia pernah berlaku tujuh kali dengan kali terakhir ia dibentangkan adalah pada 20 Disember 1999.

Beliau berkata, ia bertujuan mendapatkan kebenaran sementara Parlimen supaya kerajaan boleh berbelanja sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga RUU Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

Anggaran perbelanjaan di bawah RUU berkenaan antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan serta projek pembangunan yang sedang berjalan dan perlu diteruskan, terutama kerja pembaikan dan penyelenggaraan.

“Namun, mengambil kira keterbatasan anggaran perbelanjaan sementara ini yang terhad kepada dasar dan komitmen sedia ada kerajaan bagi enam bulan pertama 2023 terlebih dahulu.

“Apa yang baik akan diteruskan terutamanya inisiatif sedia ada yang memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat. Selanjutnya, perbelanjaan lain akan dikaji semula dalam penyediaan pembentangan semula Bajet 2023,” katanya.

Related posts

Leave a Comment