KUALA LUMPUR 21 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengingatkan agensi pengendali umrah supaya lebih bersedia memberi perkhidmatan yang lebih baik secara keseluruhannya kepada jemaah pada musim umrah 1446H.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, setiap agensi perlu memantapkan prestasi masing-masing.
Katanya, ini termasuk dari segi kecekapan dan keberkesanan pengurusan pentadbiran, operasi, kewangan, pembangunan perniagaan, termasuklah kecekapan dan kepantasan memasar dan mengedar produk masing masing.
Tawaran pakej yang lebih murah juga dialu-alukan bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat Islam menunaikan ibadah umrah.
Pada masa yang Khairul Firdaus berkata kecekapan prestasi itu juga sebagai persediaan agensi mematuhi kriteria yang akan diwajibkan tahun depan yang antara lain bagi memastikan jemaah tidak mengalami kerugian akibat penipuan.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup program “Bangkit Usahawan Umrah” yang dianjurkan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) serta disokong Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra). Richworks dan Momentum Digital.
Program sehari itu dihadiri lebih 300 peserta yang terlibat dalam industri umrah termasuk dari Indonesia dan Brunei Darussalam.
Turut hadir Pengarah Merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia, Ibrahim Mat Sin, Pengerusi Eksekutif, Md Daud Che Ngah dan Presiden Bumitra Dr Muhamad Adam Wan Norudin,
Khairul Firdaus berkata, bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia hab umrah bagi rantau ASEAN termasuklah dari China, Australia dan New Zealand, persediaan strategik yang diperlukan adalah tenaga kerja yang cekap dan berkebolehan untuk memasarkan produk-produk transit atau ziarah di pasaran antarabangsa.
Katanya, pengetahuan dan skil untuk memasar dan menjual produk-produk umrah dan haji tidak terhad kepada pasaran antarabangsa sahaja.
“Saingan untuk memasar dan menjual pakej umrah di pasaran domestik juga memerlukan pengetahuan yang mendalam untuk pertimbangan para pengguna,” katanya yang mengalu-ngalukan usaha Andalusia menganjurkan program itu.
Beliau berharap, segala ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang program itu membawa pelbagai manfaat dan mampu dipraktikkan oleh agensi-agensi berkenaan.
“Semoga pelbagai perkongsian ilmu pengetahuan berkenaan industri haji dan umrah ini dapat terus dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemajuan kita semua,” katanya.
