Korban ke-25 kanak-kanak ditemukan

HULU SELANGOR 20 Dis. – Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di lokasi pencarian tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s  Organic Farm Gohtong Jaya, dekat sini pada 11.20 malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor mengesahkan penemuan mangsa ke-25 itu.

Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Operasi SAR hari kelima ditangguhkan pada 12 tengah malam dan akan bersambung semula pada 8 pagi esok.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

Terdahulu anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan di sektor C (Riverside) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam.

SAR dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.

Pasukan sweeper itu terdiri daripada 14 pegawai dan anggota, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR yang bermula kira-kira 8 pagi tadi, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

Related posts

Leave a Comment