Tiba masa “Permatang Pauh Berubah”

MAMPUKAH Permatang Pauh Berubah selepas 40 tahun dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim?  Bermula dengan Anwar, diikuti isterinya Datuk Seri Dr Wan Aziah Wan Ismail dan kini anak mereka Nurul Izzah.

Jawapannya akan ditentukan oleh 107,253 pengundi berdaftar pada 19 November ini selepas Barisan Nasional (BN) berkempen dengan tagline Permatang Pauh Berubah.

Jentera kempen BN yang diketuai calonnya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said tidak kenal penat lelah sejak hari penamaan calon lalu membawa mesej Permatang Pauh perku berubah, bukan setakat menukar wakil rakyat tetapi membawa pembaharuan di situ.

Walaupun berdepan dengan cabaran getir untuk mendapatkan semula kerusi yang dikuasai keluarga Anwar, calon BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh itu percaya tagline yang dibawa sepanjang berkempen meresap ke jiwa rakyat.

Selepas turun menemui rakyat atau pengundi di seluruh pelosok Permatang Pauh, ternyata mereka memberi respons yang baik.

“Alhamdulillah dalam beberapa hari berkempen, sokongan kepada BN kelihatan begitu melonjak dengan tagline ‘Permatang Pauh Berubah’ yang kita bawa ini telah meresap ke jiwa rakyat,” katanya.

Beliau menyifatkan suatu perkembangan yang baik setelah penduduk melihat tidak ada kemajuan yang dilakukan dalam tempoh 23 tahun penguasaan PKR di kerusi itu.

Mohd Zaidi berkata, sepanjang tempoh kawasan ini dikuasai PKR/Pakatan Harapan (PH) tiada pembangunan dibawa meskipun ketika mereka menjadi kerajaan selama 22 bulan termasuk semasa Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Pemimpin yang menjadi ahli Parlimen bercakap perkara yang tidak ada kaitan dengan rakyat di sini, menyebabkan rakyat terpinggir, keutamaan sepatutnya adalah kawasan kita sebagai Ahli Parlimen.

“Persidangan Dewan Rakyat setahun tidak lebih 45 hari, hari lainnya adalah untuk berkhidmat….tetapi kalau wakil rakyat tidak berada dalam kawasan macam mana kita hendak beri perkhidmatan kepada rakyat,” kata Mohd Zaidi.

Justeru Mohd Zaidi tampil untuk melakukan agenda perubahan bagi menyelesaikan masalah 23 tahun di bawah keluarga Anwar.

Melalui Manifesto Calon 01 bagi P044 Permatang Pauh itu, beliau menggariskan sembilan perkara untuk dilaksanakan jika pengundi memutuskan untuk melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.

Janji manifesto itu termasuk membina sekolah rendah baharu bagi menampung kepadatan murid-murid di kawasan Seberang Jaya serta membina blok tambahan bilik darjah moden untuk beberapa sekolah berkepadatan tinggi.

Pembinaan dua masjid baharu dalam Parlimen Permatang Pauh juga akan dilaksanakan di samping menyelesaikan masalah banjir di lima lokasi di kawasan Parlimen Permatang Pauh, perumahan rakyat golongan B40 dan kesesakan yang melampau di beberapa kawasan.

Katanya, perancangan yang digariskan melalui manifesto itu sepatutnya telah lama mendapat perhatian wakil rakyat sedia ada.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang Nurul Izzah (PH-PKR), Mohd Zaidi (BN-UMNO), Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN-Pas) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra).

Related posts

Leave a Comment