PRU Padang Serai tak perlu tangguh

PUTRAJAYA 17 Nov. – Tiada keperluan untuk tarikh baharu atau penangguhan pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai, selepas seorang calon yang bertanding di kerusi itu meninggal dunia.

Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN),  Azalina Othman Said, berkata ini kerana Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian.

Bagi kes Padang Serai, katanya, pengundian awal sudah pun bermula pada 7 November (undi pos) dan 15 November membabitkan polis, pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing.

Justeru desakan untuk menangguhkan pilihan raya Padang Serai tidak perlu.

Dalam kenyataan di Facebooknya, calon BN bagi kerusi Parlimen Pengerang itu berkata, proses pengundian awal juga sudah berjalan menyebabkan calon baharu tidak dapat dicalonkan bagi kerusi Padang Serai.

Beliau berkata,  pengundian awal bagi kerusi Parlimen itu tidak dapat ditarik balik, di samping tiada peruntukan undang-undang untuk penamaan calon baharu selepas pengundian bermula.

“Justeru, undian boleh diteruskan untuk Padang Serai pada 19 November (Sabtu ini) mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya.

Related posts

Leave a Comment