‘Fatwa’ Pas berubah demi Putrajaya

BALIK PULAU 15 Nov. – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa ‘fatwa’ Pas sentiasa berubah-ubah supaya ia sesuai dengan keperluan pemimpin parti itu untuk kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jika mereka fikir mereka boleh mendapat kuasa dengan bersama UMNO, maka UMNO bagus.Sekarang, mereka fikir yang terbaik ialah Perikatan Nasional (PN) (dan) Bersatu walaupun ada pemimpin dalam Bersatu yang ‘sakau duit’.

“Jika minggu depan mereka mempunyai idea bahawa DAP boleh memimpin mereka ke Putrajaya, maka DAP akan menjadi Muslim terbaik untuk mereka,” katanya dalam satu ceramah di sini malam ini.

Katanya, selagi empat atau lima pemimpin kanannya boleh menjadi menteri di peringkat Persekutuan, itu sudah memadai untuk parti terbabit.

Rafizi berkata, rakyat sememangnya tahu bahawa itu semua sebahagian daripada permainan politik.

Sementara itu, Rafizi mendakwa PH mampu untuk memperoleh lebih 90 kerusi Parlimen pada PRU15 dengan kemenangan dicapai di negeri kubu kuatnya di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, negeri tumpuan terbaru gabungan itu ialah Perak, di mana terdapat peningkatan ketara sokongan daripada pengundi Melayu.

Katanya , jika keadaan baik, tiada banjir, tiada ribut dan dengan pemimpin UMNO terus bergaduh sesama sendiri, PH akan melepasi 100 kerusi dan akan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan baharu dalam masa kurang seminggu.

Related posts

Leave a Comment