Bersatu guna simbol sendiri di Negeri Sembilan

PETALING JAYA  15 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), komponen Perikatan Nasional (PN) akan bertanding menggunakan simbol parti sendiri pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.

Presidennya, Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersat, malam ini setelah Pas didakwa mengadakan rundingan politik dengan Barisan Nasional (BN) tanpa persetujuan PN.

Pada masa yang sama PN juga katanyq gagal memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi PN bagi PRU DN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Bersatu kesal dengan tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen PN serta tanpa mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Menurutnya, kegagalan Pengerusi PN memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi bagi menentukan dasar dan hala tuju gabungan ketika berdepan pilihan raya Negeri Sembilan amat dikesali, malah bercanggah dengan Perlembagaan PN.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa tarikh baharu untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Bersatu akan meletakkan calon-calonnya sendiri dan kesemua mereka akan menggunakan simbol Bersatu.

Beliau berkata, MPT Bersatu turut memberi mandat kepadanya untuk membenarkan calon daripada parti politik lain menggunakan simbol Bersatu pada pilihan raya itu.

Muhyiddin turut melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan yang dibuat secara unilateral oleh Pas, antaranya kenyataan pemimpinnya yang menurut beliau memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya di Johor sebelum ini dan kini di Negeri Sembilan.

Menurutnya, tindakan itu tidak pernah dipersetujui Majlis Tertinggi PN dan bertentangan dengan kepentingan PN sebagai gabungan politik yang menawarkan alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan Bersatu akan terus berpegang kepada pendekatan sederhana dan progresif, selain menyeru pengundi di Negeri Sembilan memberi sokongan kepada calon-calon Bersatu pada PRN berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment