Pengundian awal bermula pagi ini

PUTRAJAYA 15 Nov. – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula pada pukul 8 pagi ini membabitkan 224,828 pengundi.

Daripada jumlah itu, 117,473 orang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara yang antara lain membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dalam kenyataan semalam menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.myatau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.

Bagi pengundi awal yang positif Covid-19 mereka dinasihatkan untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing.

Proses pengundian awal turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih.

Kertas undi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan hanya akan dikira pada hari pengundian 19 November, bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon.

PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15) manakala PRK DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah Covid-19.

Related posts

Leave a Comment