New Zealand buka sempadan April

WELLINGTON 16 Mac – New Zealand akan membuka sempadannya lebih awal bermula April ini berbanding cadangan awal pada Julai ini, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini.

“Saya berbangga kerana New Zealand merupakan sebuah negara yang pada ketika ini dapat menyediakan tempat yang selamat untuk dikunjungi oleh para pelancong.

‘Kami bersedia untuk mengalu-alukan ketibaan pelawat,” kata Ardern.

Beliau berkata, warga Australia yang lengkap divaksin boleh mengunjungi negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin atau pengasingan kendiri mulai April, berbanding dengan tarikh pada Julai yang dirancang sebelum ini.

Para pelawat dari negara yang mempunyai aturan bebas visa dengan New Zealand, termasuk pasaran utama di hemisfera Utara, Jepun, Singapura, Korea dan Taiwan – dibenarkan untuk berbuat demikian mulai 1 Mei.

Ardern menyifatkan perubahan itu sebagai pendorong utama bagi industri pelancongan New Zealand yang terjejas apabila sempadan negara itu ditutup pada Mac 2020 setelah Covid-19 melanda seluruh dunia.

“Kami bersedia untuk beralih dengan selamat ke lembaran baru pengurusan pandemik kami, perubahan ini membawa dengannya peluang ekonomi yang besar,” katanya.

Pada 2019, New Zealand menyambut ketibaan 3.9 juta pelancong dan industri ini menghasilkan NZ$16 bilion setiap tahun, dengan 40 peratus pelancong datang dari Australia.

Related posts

Leave a Comment