AYER KEROH 15 Julai – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, mengekalkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh walaupun empat wakil rakyat DAP bertindak sebaliknya semalam.
ADUN Bukit Katil itu berkata, tidak ada keperluan untuk beliau menarik sokongan terhadap Ab Rauf buat masa ini.
“Buat masa ini memanglah kita tahu bahawa kita sebagai seorang ADUN, Ketua Menteri kita dia (Ab Rauf) seorang (sahaja) bukan ada ramai pun.
Soal jawatan, saya nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri ketika ini,” kata wakil tunggal Amanah itu pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang medianya memaklumkan beliau bersama tiga ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.
Mengulas saranan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim supaya DAP menangguhkan dulu hasrat keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, perkara itu akan dibincangkan esok.
Katanya, PH Melaka belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan gabungan itu dalam kerajaan negeri setakat ini.
Beliau berkata, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan sebarang isu yang membabitkan parti komponennya sebelum sesuatu pendirian diumumkan.
“Esok kita akan berbincang dan pandangan semua ADUN serta parti dalam PH akan diambil kira, selepas itu kita akan maklumkan keputusan rasmi,” katanya yang menjejaskan setiap parti dalam PH ada hak masing-masing untuk bertindak.
Nnn
