Penampilan semula Rahman Dahlan

KOTA KINABALU 2 Nov. – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan membuat penampilan semula dalam arena politik selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu diletakkan di kerusi Parlimen Kota Belud, dan akan berdepan penyandang kerusi tersebut Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan (Warisan).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin petang ini.

Bung Moktar mengumumkan 11 calon BN yang akan ditampilkan pada PRU15, dan satu lagi kerusi di Parlimen Beluran masih dalam rundingan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga akan ditandingi calon BN iaitu Abdul Aziz Mohd Ibnu.

Penampilan semula Abdul Rahman sekali gus menghentikan desas-desus bahawa beliau akan dicalonkan di kerusi tersebut, sekali gus Salleh Keruak tidak tercalon.

Turut dicalonkan adalah Yakub Khan (Sepanggar),  Shahelmy Yahya (Putatan), Mohamad Alamin (Kimanis), Siti Aminah Aching (Beaufort), Jamawi Jaafar (Tenom),  Arthur Kurup (Pensiangan),  Suhaimi Nasir (Libaran).

Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Maizatul Akmam Alwi (Silam) dan Aslam Fadli Samsul Alang (Kalabakan).

Related posts

Leave a Comment