Tok Pa berundur atas sebab kesihatan

JELI 2 Nov. – Penyandang kerusi Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak tahun 1995.

Mustapa atau turut dikenali sebagai Tok Pa, 72, melalui satu kenyataan memaklumkan, penarikan diri itu atas faktor kesihatan dan nasihat doktor.

Beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, Bersatu memilih Setiausaha Politiknya Zahari Kechik bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada rakyat Jeli, parti dan kerajaan kerana memberikan kepercayaan kepada saya berada dalam kerajaan dan mewakili Parlimen Jeli sejak dari tahun 1995,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu merupakan individu bertanggungjawab membawa perubahan di Jeli dan meningkatkan sosioekonomi penduduk Jeli.

PN Kelantan dijadualkan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding pada PRU15 di negeri ini malam ini.

Related posts

Leave a Comment