Pilihan raya umum semakin hampir?

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Adakah pembatalan proklamasi darurat di tiga kawasan yang diisytiharkan bagi menangguhkan pilihan raya kecil sebelum ini menandakan pilihan raya umum semakin hampir?

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan membatalkan proklamasi darurat di tiga kawasan yang diisytiharkan sepanjang tempoh menangani penularan pandemik Covid-19.

Perintah pembatalan yang dibuat itu membabitkan Proklamasi dan Ordinan Darurat di Parlimen P054 Gerik, Perak, yang dilaksanakan pada 12 Disember 2020,  Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah yang dibuat pada 18 November 2020.

Di samping itu, pembatalan juga dibuat terhadap proklamasi serta ordinan darurat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah yang dibuat pada 12 Disember 2020.

Pembatalan proklamasi itu dibuat menerusi Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Berdasarkan warta itu, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa keperluan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) yang diisytiharkan susulan wabak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) itu telah berakhir.

Susulan itu, tindakan pembatalan semua ordinan darurat berkenaan dikehendaki dan dimasyhurkan menerusi suatu ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasa (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang dinamakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2)(Pembatalan) 2022. .

Dengan pembatalan ordinan dan proklamasi terbabit, pilihan raya kini boleh diadakan terhadap semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment